Friday, September 30, 2011

Lagi pujian Arab kepada pengurusan haji Malaysia

MADINAH: Pengurusan haji dan jemaah haji Malaysia adalah contoh terbaik yang harus diteladani setiap negara Islam lain, kata Ketua Operasi Pasport Asia Tenggara Arab Saudi, Naif Abdul Hameed Shahate.

Katanya beliau kagum dengan kelancaran perjalanan haji jemaah dari Malaysia dan menurutnya beliau mendapati kebanyakan jemaah haji Malaysia dibekalkan dengan pengetahuan yang mencukupi untuk menyediakan diri apabila berada di tanah suci.

Beliau berkata apabila jemaah haji Malaysia tiba di lapangan terbang di sini, kebanyakan mereka sudah tahu banyak perkara mengenai tempat penginapan, bilik masing-masing, soal pasport, lokasi tempat ziarah dan sebagainya.

"Semua ini adalah hasil pengurusan yang cekap, yang membabitkan kerjasama semua jabatan yang berkaitan," katanya menerusi seorang penterjemah ketika ditemui petugas media Tabung Haji di sebuah hotel penginapan jemaah di sini.

Operasi Pasport Asia Tenggara adalah satu daripada jabatan di bawah Muassasah Addillak yang berada di bawah Kementerian Haji Arab Saudi yang bertanggungjawab mengenai soal pengurusan haji.

Naif seterusnya memuji pihak pengurusan jemaah haji yang menurutnya memberikan kerjasama baik kepada pihaknya dalam melicinkan perjalanan urusan haji.

Turut bersama beliau di hotel penginapan jemaah haji Malaysia itu ialah Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Prof Syed Omar Syed Al-Saggaf dan Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Mohd Khalid Abdul Razak. - BERNAMA 30/09/2011

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes