Thursday, December 31, 2009

WANITA TIADA SUAMI ATAU MAHRAM BERSAMA

Wanita yang ingin menunaikan haji hendaklah ditemani suami atau mahram.
Bagi wanita yang tiada suami atau mahram bersama adalah diharus ditemani oleh wanita-wanita yang thiqat (yang dipercayai ) apabila selamat daripada fitnah dan keselamatan diri mereka terjamin. (menurut Mazhab Syafi'e)
Wanita yang bersuami hendaklah mendapat keizinan suami, jika suami tidak mengizinkan hajinya sah tetapi berdosa.

Wednesday, December 30, 2009

HAJI SEKALI SEUMUR HIDUP

Alhamdulillah rakyat Malaysia ramai yang telah berkemampuan dari segi wang ringgit untuk menunaikan Ibadat Haji. Buktinya ramai yang telah mendaftar dengan TH bagi tujuan tersebut. Mereka yang mendaftar terdiri daripada gulungan berikut:
  • Baru pertama kali untuk menunaikan haji.
  • Bawah umur 15 tahun (kanak-kanak)
  • Umur melebihi 60 tahun
  • Mereka yang sihat.
  • Mereka yang sakit yang tidak berdaya.
  • Kakitangan kerajaan, swasta, bekerja sendiri, berniaga, pelajar dan lain-lain
  • Mereka yang telah menunaikan haji.

Senario ini menimbulkan kebimbingan mereka yang berusia melebihi 60 tahun kerana mengikut hukum adatnya mustahil untuk menunggu lama.

Islam adalah agama yang menganjurkan umatnya tidak terlalu mementingkan diri sendiri tetapi kepentingan umah. Oleh itu jika ada seseorang individu yang medahului orang lain kerana mereka lebih layak, Allah s.w.t tidak membiarkan individu tersebut bagitu sahaja melainkan diganjaran pahala. Marilah sama-sama kita fikirkan........................

Tuesday, December 29, 2009

CARTA ALIRAN PROSES URUSAN HAJI



Sila klik pada carta untuk melihat carta dengan lebih jelas.

Sunday, December 27, 2009

HUKUM MENUNAIKAN HAJI

Ijma' para ulama' menyatakan bahawa hukum menunaikan Haji adalah wajib sekali sahaja seumur hidup bagi seseorang Islam yang cukup syarat-syaratnya.

Syarat wajib Haji dan Umrah:
  • Islam - tidak wajib dan tidak sah ke atas orang kafir dan murtad
  • Sampai umur (baligh) - tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak tetapi sah Hajinya jika ia kerjakan dan tidak gugur wajibnya bila sampai umur.
  • Berakal - tidak wajib ke atas orang gila dan tidak sah Hajinya jika ia lakukan.
  • Merdeka - tidak diwajib ke atas hamba abdi tetapi sah Hajinya serta diberi pahala jika ia lakukan.
  • Berkuasa atau berupaya mengerjakan Haji dan Umrah sama ada:

i) Berkuasa dengan sendirinya.

ii) Berkuasa dengan pertolongan orang lain.

Wednesday, December 23, 2009

PERSIAPAN AWAL

Bakal haji 1431H adalah dinasihat untuk menyesuai keadaan yang bakal yang dilalui semasa di tanah suci. Keadaannya adalah seperti berikut:
  • Bakal haji akan berjalan kaki (1.2km - 1.6 km pergi/balik) untuk ke Masjidil Haram maka mulai sekarang hendaklah berjalan kaki ke masjid atau surau di tempat masing-masing.
  • Bakal haji akan berazam untuk solat waktu di Masjidil Haram dan Masjidil Nabi maka mulai sekarang kalau dapat setiap solat waktu dilakukan di masjid atau surau.
  • Di tanah suci bakal haji akan berjumpa dengan ramai orang berbagai bangsa, usia, tua muda maka mulai dari sekarang hendaklah bakal haji bermasyarakat.
  • Bakal haji berazam untuk membaca al quran di tanah suci maka mulai sekarang peruntukanlah masa untuk membaca al quran dan memahami maknanya.

Keadaan di atas adalah antara pengalaman yang akan dilalui dan banyak lagi yang akan ditempuhi, maka bakal haji hendaklah membiasakan dan menyesuaikannya.

Monday, December 21, 2009

TINDAKAN KEMASKINI MAKLUMAT

Bakal haji 1431H dikehendaki membuat tindak pengemaskinian dengan pejabat TH berhampiran seperti berikut:
  • Pastikan alamat surat menyurat yang terkini. Tindakan penukaran dengan melengkapi borang JP 008 BORANG MENUKAR MAKLUMAT AHLI.
  • Pastikan pejabat TH yang ingin tuan/puan berurusan ( Kursus Haji, Pemeriksaan Kesihatan, pasport , Gelang Pengenalan Haji (GPH), barang-barang haji dan lain-lain ) dengan menukar Kod Pejabat Pengendali.
  • Lain-lain maklumat yang berkaitan.

Friday, December 18, 2009

KUMPULAN KELUARGA

Selamat menyambut tahun baru 1431 Hijrah.

Kesempatan ini saya ingin menjelaskan berkaitan "Kumpulan Keluarga".
Kumpulan keluarga adalah tindakan mengemaskini dalam sistem TH nama pengikut bakal haji yang ada kaitan keluarga bagi memastikan mereka akan menaiki penerbangan, maktab/zon, bilik (jika sama jentina) yang sama. Tindakan ini boleh diambil oleh ketua keluarga semasa menjawab menerima tawaran 1431H di mana-mana pejabat TH yang berhampiran. Bagi keluarga yang tidak tinggal di kawasan yang sama, tidak perlu kesemua mereka berkumpul di satu pejabat TH memadai mereka membuat semakan di TH berhampiran dengan tempat masing-masing. Misalnya anak berada di Kuala Lumpur dan ibu/bapa berada di Perlis, memadai anak yang berada di Kuala Lumpur yang berurusan di TH Kuala Lumpur. Ibu/bapa yang di Perlis boleh membuat semakan di TH Perlis.

Wednesday, December 16, 2009

STATUS BAKAL HAJI

Bakal haji 1431H akan menerima surat tawaran untuk menunaikan haji pada tahun tersebut. Tawaran ini terbahagi kepada dua status iaitu Terpilih dan Menunggu. Terpilih adalah bakal haji yang termasuk kuota 26,000 dan menunggu adalah bakal haji tidak termasuk kuota. Bakal haji menunggu adalah bagi tujuan mengambil tempat bakal haji terpilih yang menolak tawaran.
Bakal haji yang menerima surat tawaran samada terpilih atau menunggu perlu menjawab tawaran tersebut walaupun mereka menolak tawaran. Jika mereka yang ditawarkan tidak menjawab, TH tidak membuat tawaran pada tahun berikutnya. Bakal haji hendaklah mengambil perahatian dan tindakan sewajarnya.

Tuesday, December 15, 2009

PENJAGAAN KESIHATAN

Assalamualaikum

Bakal Haji 1431H hendaklah melakukan pemeriksaan kesihatan berkala mulai sekarang bagi menentukan tahap kesihatan diri. Bakal Haji warga emas dan yang mengidapi penyakit seperti darah tinggi, lemah jantong, kencing manis hendaklah mendapatkan nasihat doktor supaya kedudukan kesihatan stabil untuk tujuan menunaikan haji.
TH akan mengaturkan pemeriksaan kesihatan bagi mengesahkan tahap kesihatan bakal haji pada suatu masa yang akan ditentukan. Bakal haji akan dijemput melalui surat bagi tujuan ini.
Semasa hadir membuat pemeriksaan bakal haji perlu membawa bersama perkara berikut:
  • Buku Rekod Kesihatan yang boleh di dapati di TH
  • Rekod kesihatan dari pada klinik yang bakal haji selalu membuat pemeriksaan kesihatan.
  • Kad Kumpulan Darah.
  • Senarai nama ubat yang biasa dimakan

Sunday, December 13, 2009

WANG TAMBAHAN

Assalamualaikum

Bakal haji perlu menyediakan wang tambahan selain Wang Perbelanjaan Haji iaitu pada anggaran sebanyak RM40.00 sehari. Jika bakal haji berada di tanah suci selama 40 hari bermakna wang yang diperlukan sebanyak RM1,600.00. Wang ini boleh di simpan dalam TH bila-bila masa sebelum berangkat ke tanah suci atau waris boleh menyimpan ke dalam akaun bakal haji setelah berangkat ke tanah suci.Wang tambahan adalah bagi keperluan antaranya wang dam se ekor kambing RM350.00*, makanan pagi yang tidak disediakan oleh TH , urusan umrah sunat, upah tawaf dan sae bagi bakal haji uzur, bayaran panggilan telefon ke Malaysia.................

Friday, December 11, 2009

WANG PERBELANJAAN HAJI

Assalamualaikum

Penjelasan Wang Perbelanjaan Haji (WPH) adalah jumlah wang yang wajib ada dalam akaun TH. WPH adalah bagi tujuan seperti berikut:

  • Tambang kapalterbang
  • Sewa rumah penginapan
  • Sewa khemah di Arafah/Mina
  • Pengangkutan Jeddah/Madinah/Makkah/Arafah/Mudzlifah/Mina
  • Makan di Jeddah/Madinah/Makkah
  • Makan di Arafah/Mina
  • Bayaran pihak berkuasa Arab Saudi

WPH ini akan ditolak oleh TH dari akaun bakal haji apabila sampai waktunya.

Wednesday, December 9, 2009

RAYUAN MENUNAI IBADAT HAJI LEBIH AWAL

Assalamualaikum

Dimaklumkan kepada mereka yang telah membuat pendaftaran haji dengan Tabung Haji yang bercadang untuk menunaikan ibadat haji lebih awal dari giliran yang ditetapkan bolehlah membuat permohonan rayuan pada tahun berkenaan. Pihak Tabung Haji akan mempertimbangkan jika ada kekosongan pada tahun berkenaan. Bagi mereka yang membuat permohonan rayuan adalah lebih baik mengambil tindakan berikut:
1. Menghadiri Kursus Haji Bersiri
2. Mencukupkan Wang Perbelanjaan Haji
3. Mendapatkan pengesahan doktor bahawa keadaan kesihatan stabil untuk melakukan ibadat haji.

Rayuan ini bukan jaminan terpilih untuk menunaikan ibadat haji tetapi adalah usaha yang dilakukan dan Insya Allah jika telah disuratkan Allah kita menjadi tetamunya maka kita akan mendapat peluang seperti yang dihajati.

Thursday, December 3, 2009

PENDAFTARAN HAJI DI TABUNG HAJI

Assalamualaikum

Semua umat Islam diseru untuk mendaftar menunaikan haji bagi melaksanakan Rukun Islam yang kelima.
Syarat untuk mendaftar haji adalah seperti berikut:
1. Membuka akaun dengan Tabung Haji.
2. Mempunyai baki wang dalam akaun TH jumlah minima RM1,310.00 sahaja.
3. Pergi mana-mana pejabat TH atau Kaunter Bank Islam Malaysia dengan membawa Kad Pengenalan dan Buku Akaun Tabung Haji untuk mendaftar. Tidak perlu mengisi borang.
4. Telah mendaftar............sangat mudah

BERITA PENTING:

Jika kita daftar hari ini, giliran kita ialah pada 2029. Setiap tahun TH hanya diperuntukan kuota 26,000 orang, ini bermakna mereka yang telah mendaftar melebehi 500,000 orang. Janganlah merasa bimbang kerana terlalu lama menunggu, yang penting kita daftar dahulu dan kemudian kita boleh membuat rayuan pada tahun berkaitan yang telah kita tentukan tahunnya.

PERISTIWA YANG SAYA LALUI:

Pendeposit TH: Kenapa TH tidak mengirim surat kepada saya untuk menunaikan haji padahal saya telah 30 tahun menyimpan dalam TH dan wang telah mencukupi untuk menunaikan haji?
Saya : Sudahkah tuan membuat pendaftaran Haji dengan TH?
Pendeposit TH: Bukankah saya telah ada akaun dengan TH ?
Saya : Tuan, Pendaftaran Haji dan Buka Akaun TH adalah perkara berbeza.
Ramai orang Buka Akaun TH tidak bermakna mereka menyimpan untuk menunai haji. Banyak sebab mereka menyimpan dengan TH. Oleh itu sesiapa yang ingin menunai haji perlu mendaftar.



SELAMAT MENDAFTAR

Wednesday, December 2, 2009

KURSUS HAJI BERSIRI 1431H

Assalamualaikum

Sukacita ingin saya memperjelaskan berkaitan Kursus Haji Bersiri yang akan dijalankan oleh TH dengan kerjasama Masjid. Kursus ini diadakan bagi memberi ilmu pengetahuan berkaitan Ibadat Haji, Pengurusan Haji, Kesihatan, amali Ibadat Haji dan Permasalahan Wanita. Ianya berjalan sebanyak 17 siri. Setiap siri mengambil masa 2 jam termasuk waktu rehat 15 minit pertengahan perjalanan kursus.

Tenaga pengajar adalah mereka yang mempunyai pengetahuan yang berkaitan dan juga berpengalaman di Tanah Suci. Penceramah Ibadat Haji juga telah menghadiri Muzakarah Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Tabung Haji.

Bakal Haji 1431H adalah dimestikan menghadiri kursus ini dan terbuka kepada mereka yang telah mendaftar haji dengan Tabung Haji, pelajar sekolah menengah dan orang ramai. Pihak masjid akan mengenakan bayaran pendaftaran bagi tujuan pembayaran penceramah, minuman, nota, api, air dan bayaran penyelanggaran. Pihak Tabung Haji tidak terlibat dengan bayaran tersebut. Pihak Tabung Haji akan membuat pemantauan perjalanan kursus mengikut modul yang ditetapkan.

Tuesday, December 1, 2009

SELAMAT KEMBALI KE TANAH AIR JEMAAH HAJI 1430H

Saya mengucapkan Selamat Kembali Ke Tanah Air kepada Jemaah Haji 1430H Khasnya Jemaah Haji Wilayah Persekutuan semoga mendapat haji mabrur.

Kepada Bakal Haji 1431H yang akan mengikuti Kursus Haji Bersiri anjuran Tabung Haji Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Masjid terpilih dalam Wilayah Persekutuan akan bermula 6 RabiulAwal 1431H bersamaan 20 Februari 2010 setiap Sabtu atau Ahad sebanyak 17 Siri.

Maklumat seterusnya akan dimaklumkan kemudian.

Wednesday, November 25, 2009

Salam Perkenalan


Assalamualaikum,

Salam perkenalan untuk semua.

Saya Mazlan bin Mohd Zin adalah Pengurus Pentadbiran/Haji di Tabung Haji Wilayah Persekutuan, Menara TH Perdana, Jalan Sultan Ismail, KL.
Saya baru melancarkan blog ini adalah bertujuan memaklumkan berkaitan Haji dan Pengurusan Haji. Oleh itu saya menjemput untuk melayari blog saya dan jika ada pandangan membina saya alu-alukan
Terima kasih

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes