Saturday, October 29, 2011

SERUAN MENDAFTARAN HAJI

Alhamdullilah, umat islam di Malaysia telah ramai mendaftar untuk menunaikan Haji dengan Tabung Haji. Mereka yang masih belum mendaftar Haji, jangan ketinggalan untuk berazam melaksanakan Rukun Islam yang kelima iaitu melakukan Haji di Tanah Suci Mekah. Tanda mereka bersungguh-sungguh untuk menunaikan haji ialah mengambil langkah-langkah berikut:
• Membuka Akaun Tabung Haji : Adakah kita masih tergulung dalam kumpulah yang tidak mampu untuk membuka Akaun Tabung Haji dengan bermodalkan RM10 bagi Dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak. Kelebihan kita membuka Akaun TH ialah ramai orang mendoakan kita secara tidak langsung. Apabila kita hendak ke Tabung Haji, ada yang bertanya “ Nak pergi Haji ke ?” Maka kita jawab “Insya Allah “ walaupun duit dalam Akaun TH baru RM10 atau RM2. Langkat seterusnya ialah memperuntukan sebahagian perbelanjaan setiap bulan untuk disimpan dalam TH supaya melayakkan kita untuk mendaftar Haji. Jika diperuntukan RM100 sebulan, dalam tempoh 13 bulan sudah boleh membuat pendaftaran haji.
• Kelayakan mendaftar Haji : Apabila wang telah cukup RM1,300.00 maka segera mendaftar haji. (Simpanan sebanyak RM1,300 masih kekal dalam Akaun tapi dibekukan, tidak boleh dibuat pengeluaran jumlah tersebut. Jika dalam Akaun melebihi jumlah tersebut maka boleh dibuat pengeluaran wang yang lebih) Jika terpaksa menggunakan wang tersebut pembatalan haji boleh dibuat dan pengeluaran boleh dibuat pada masa tersebut juga. Seeloknya wang dalam simpanan TH jangan dikeluarkan tapi membuat perancangan bila hendak menunaikan haji. Jika tempoh 10 tahun maka setiap bulan disimpan RM100, setahun RM1,200 + RM1,300 yang telah ada dalam akaun TH maka jumlahnya RM2,500. Dengan itu Insya Allah wang telah mencukupi untuk Bayaran Haji dan perbelanjaan di Tanah Suci.
• Lawan bisikan Syaitan : Apabila sahaja mendaftar pada hari ini, dimaklumkan giliran lagi 30 tahun maka terkeluar dari mulut kita “ Dah mati lah” Kita akan bersangka buruk mengatakan tak guna daftar haji kerana mustahil untuk tunai haji. Jangan kita kalah dengan bisikan Syaitan. Terus bertekad dan berazam menuruskan langkah ke hadapan untuk persiapan seterusnya. Tahun 2012 akan ramai mereka yang mempunyai Simpanan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mendaftar haji. Sudah pasti lagi ramai yang mendaftar. Jangan tunggu tahun 2012 untuk mendaftar. Mereka yang mempunyai anak kecil yang telah ada dalam Akaun TH RM1,300 juga boleh mendaftar. Jika kanak-kanak ini ditawarkan nanti mereka telah dewasa. Jika pada masa itu mereka belum bersedia, boleh menangguhkannya dengan menjawab tolak tawaran.
• Menuntut Ilmu : Perkemaskan dan mendalami segala Ilmu agama, Ilmu Fardu Ain, Tauhid, Wuduk, Solat dan Ibadat Haji dan Umrah. Mengikuti Kelas, ceramah. Dapat Buku-buku yang sesuai. Dapat maklumat dari Internet dan rujuk kepada Pembimbing Haji.

Urusan membuka Akaun TH dan Daftar Haji bukan saja di kaunter TH tapi boleh juga dilakukan di mana-mana Kaunter Bank Islam (M) Berhad atau Kaunter Bank Rakyat. Orang ramai yang telah mendaftar haji bolehlah berdakwah kepada saudara-mara, jiran tertangga, kawan sepejabat atau tempat kerja dengan memaklumkan agar membuka akaun dengan TH dan mendaftar haji.

Thursday, October 27, 2011

Jemaah haji digalak buat bayaran dam dan korban di kaunter TH

MEKAH: Jemaah haji digalakkan membuat pembayaran dam dan korban di kaunter-kaunter kewangan yang disediakan Tabung Haji bagi mengelak sebarang keraguan dalam menyempurnakan ibadah itu.

Pengurus Operasi Bimbingan Tabung Haji, Nukman Fadzil, berkata penyembelihan ternakan dan pembayaran dam yang disempurnakan oleh jemaah haji semasa menunaikan ibadah perlu menepati kehendak agama mengikut kaedah dan syarat yang ditetapkan.
Beliau berkata, jemaah haji boleh membayar sendiri dam atau mencari ternakan untuk dibuat korban, tetapi ia perlu memenuhi pelbagai syarat seperti nilai haiwan itu, saiz dan umurnya.
"Jika dibayar kepada pihak lain, dikhuatiri akan timbul pelbagai keraguan mengenai pihak yang menguruskannya atau bagaimana hendak mempastikan amanah yang diberi kepada pihak berkenaan dilaksanakan dengan sempurna," katanya kepada kumpulan media Tabung Haji di sini hari ini.

Katanya, Tabung Haji yang mengambil tanggungjawab menerima pembayaran dam dan korban itu dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam (IDB) akan menentukan pelaksanaan bayaran dam dan ibadah korban dijalankan secara sempurna.

Nukman berkata, Tabung Haji mempunyai kumpulan petugas khusus diberi tanggungjawab mempastikan ternakan yang dijadikan korban mematuhi syarat di samping menentukan bayaran dam dan daging korban disalurkan kepada pihak yang berhak menerimanya.

Kumpulan media Tabung Haji kemudian dibawa melawat sebuah pasar haiwan ternakan di pinggir kota Mekah, Pasar Haiwan Kaa'kia yang menawarkan beribu-ribu haiwan daripada sekecil kambing biri-biri sehingga sebesar unta.
Beberapa kumpulan jemaah haji dari pelbagai negara kelihatan mencari haiwan yang sesuai untuk dijadikan korban atau membayar dam, dan menurut seorang peniaga, Jaafar Dawood, 30an, ia pemandangan biasa terutama semasa musim haji.

Pasar yang terletak kira-kira 20 minit memandu dari tengah kota Mekah dengan keluasan lebih 500 meter persegi itu dilengkapi dengan sebuah rumah khas penyembelihan bagi tujuan korban atau bayaran dam.

Jaafar, yang berasal dari Bangladesh dan berniaga di kawasan itu sejak berbelas tahun lamanya berkata biasanya apabila tiba musim haji, banyak lagi ternakan dibawa ke situ dari kawasan pedalaman dan dari negara-negara jiran seperti Yaman dan Kuwait. –
BERNAMA 27/10/2011

Tuesday, October 25, 2011

CERPEN

Tawaf Widak Untuk Walid
Oleh Tongkat Jibril

2011/10/23
"TIK! Tik! Tik!"

Sayup-sayup kedengaran bunyi seperti besi diketuk ke jalanan. Sesiapa yang mendengarnya pasti akan berpaling memandang, namun tiada merasai apa-apa. Sedang si pengetuk jalanan itu berhempas-pulas mencapai penghujung langkahan. Hatinya sudah bergelojak tidak sabar mahu segera ke tempat persujudan, sementelah mendengar laungan panggilan menghadap Ilahi sewaktu dia berjumpa pelanggan di tengah-tengah bandar Temerloh.
“Antara perkara yang wajib disegerakan ialah menunaikan solat setelah masuk waktunya, mengebumikan jenazah yang sudah selesai dikafankan dan menikahkan anak gadis yang sudah menemui pasangannya.”
Masih terngiang-ngiang di corong telinganya pesanan walid sewaktu hayatnya masih ada. Ketika itu, usianya baru menjangkau awal remaja. Pernah juga dia menyoal kepada walid mengenai kekurangan dirinya. Apakah dia masih wajib untuk menunaikan ibadat kepada Allah waima penglihatan membataskan dirinya? Jawab walidnya;

“Sahabat Nabi SAW dulu menggunakan tali yang diikat dari masjid Nabawi ke rumahnya semata-mata untuk menunaikan solat berjemaah, apatah lagi kamu yang masih kuat dan mampu berjalan menggunakan alatan tongkatmu.”

Dia tidak pernah ingkar dengan pesanan walidnya. Baginya, waima sedari kecil dia tidak diizinkan menatap wajah suci itu, namun mata hatinya sudah melakarkan bagaimana wajah dan kebaikan seorang lelaki bergelar walid. Pernah sekali dia merungut kepada walidnya mengenai kekurangan diri. Dia sering diperlekehkan, diusik teman sepermainan. Kata walid kepadanya; “Mungkin hari ini kamu diperlekehkan teman sepermainanmu, namun percayalah kata walid, satu hari nanti orang akan mendampingi kamu, memerlukan bantuan kamu.”

“Lambat sampai hari ini, Muaz?” Soal Pak Bilal dari tangga usai si buta itu meraba-raba tangga sebelum duduk sejenak melepaskan penat. Senyuman terukir di sebalik kaca mata hitamnya. Muaz meraba kasutnya sebelum dibuka ikatan dan disusun perlahan di sudut tepi tangga.
“Tadi ada urusan dengan klien, Pak Bilal. Leka sekejap.” Balas Muaz, riang. Pak Bilal tersenyum mendengar kata-kata anak muda itu. Gigih mencari nafkah hidup waima diri sendiri kurang sempurna. Allah menarik nikmat pancainderanya untuk melihat keindahan dunia fana, namun mencelikkan hatinya untuk bekerja dan berjaya. Dia memiliki sebuah rumah, pemandu dan kereta mewah sendiri, namun berkeras mahu berjalan kaki ke masjid. Kerap kali Pak Bilal menegur supaya menggunakan kereta untuk ke masjid agar lebih mudah namun Muaz menolak dengan gurauan lembut. Katanya, Allah tidak mengira jumlah pusingan tayar kereta, namun mengira jumlah langkahan kaki. Tertawa kecil Pak Bilal mendengarnya tika itu.

“Pak Bilal tunggu saya, ya. Nak ambil wuduk sebentar.” Pinta Muaz sebelum menapak perlahan sambil tangannya meraba-raba ke hadapan mencari paip untuk mengambil air wuduk. Ada sebatang paip disediakan kira-kira dua meter dari tangga. Paip air disediakan untuk memudahkan golongan seperti Muaz segera mengambil wuduk dan tidak menyusahkannya sementelah kekurangan yang ada pada diri.

Tup! Tup! Tup!

Mikrofon kecil diketuk sedikit untuk memastikan ia berfungsi sebelum diberikan kepada genggamannya. Seperti biasa, Muaz menolak dengan senyuman kerana tidak mahu perasaan riak bertapak di hatinya namun dipujuk Pak Bilal. Dia mahukan si buta itu melaungkan iqamat. Suaranya yang merdu dan lunak bergema ke segenap corong pembesar suara masjid, mengejutkan sesiapa sahaja yang mendengar. Sang imam mula memimpin solat pada petang itu. Muaz membaca setiap bait bacaan solat dengan khusyuk sehingga terkadang sesiapa sahaja yang bersolat di sisinya pasti akan menangis mendengarnya. Bukan menjadikan mereka tidak khusyuk, namun mengkagumi si buta yang masih mampu melakukan solat sedang si celik yang lainnya leka dengan dunia.

“Hari ini kamu nak hafal surah apa pula?” Soal Pak Bilal.

“Surah Ar-Rahman.” Balas Muaz. Lantas si bilal tua segera membuka lembaran Al-Quran, mencari surah yang bermaksud ‘Maha Pemurah’ itu. Usai mendapatkan halamannya, dia melihat sejenak Muaz yang berkerut dahi, memfokuskan segala pendengarannya kepada si bilal tua. Lelaki berketayap putih itu mula mengalunkan ayat-ayat dari surah Ar-Rahman. Satu demi satu ayat dialunkan bersama maksudnya, sedang Muaz mengikutnya. Begitulah rutin harian mereka berdua.

Maka nikmat Allah Taala yang manakah yang ingin kau dustakan?

Sampai sahaja di ayat itu, maka bercucuran air mata si Muaz mendengarnya. Dia menangis sejenak. Si bilal tua tersentak. Dia memandang wajah pemuda itu. Hati tuanya terusik dengan tangisan manusia yang tidak pernah menyusahkan sesiapa itu.

“Mengapa kamu menangis, Muaz?” Soal Pak Bilal. Muaz teresak-esak sebelum cuba mententeramkan keadaan dirinya. Dia teringat sesuatu saat dialunkan ayat Al-Quran dan maknanya itu.

“Pak Bilal, musim haji dah nak dekat, bukan?” Soal Muaz.

“Ya, kira-kira sebulan lagi. Mengapa?” Soal Pak Bilal kembali.

“Bila mendengar ayat tadi, saya teringatkan Walid. Dahulu, walid selalu mengukuhkan semangat kami untuk terus hidup dengan mengulangi ayat ini. Walid tidak sempat menunaikan hajinya kerana keluarga kami sangat kekurangan pada waktu itu. Saya pernah berjanji dengannya untuk menunaikan haji buatnya. Mahukah Pak Bilal membantu saya?” Pinta Muaz dengan suara serak-serak basah. Pak Bilal mengangguk namun bagaimana Muaz mahu menunaikan haji untuk ayahnya sedangkan dia masih belum membuat haji?

“Maksud kamu, kamu nak Pak Bilal tunaikan upah haji untuk ayah kamu?” Soal bilal tua. Muaz mengangguk perlahan. Dia menyeluk beg sandangnya sebelum mengeluarkan buku akaun Tabung Haji miliknya. Ditunjukkan kepada bilal tua amaun yang dikumpulnya. Melebihi seratus ribu lebih! Terkejut bukan kepalang si bilal tua melihat amaun di dalamnya. Maha Suci Allah!

“Ini duit yang saya kumpul dari umur saya lima belas tahun, pak. Saya berniat mahu ke sana namun atas kekurangan saya ini, saya memerlukan khidmat Pak Bilal untuk bersama-sama saya di sana. Bukan apa, jika di sini saya sudah biasa dengan jalannya, namun di Makkah sana amat berbeza sekali. Bolehkah Pak Bilal?” Soal Muaz lagi.

“Wah, duit ini lebih dari cukup! Pak Bilal kagum dengan kamu, Muaz.”
“Apalah gunanya duit ini kalau saya masih tidak dapat menunaikan hajat saya, Pak Bilal. Saya berusaha mengumpul duit sebanyak ini untuk memastikan saya menjadi tetamu Allah kelak di Tanah Suci. Kalau boleh, saya mahu meninggal di hadapan Kaabah.” Ucap Muaz.

“Ish, kamu ni! Kenapa kata begitu. Kamu masih muda, bukan? Manfaatkanlah usiamu selagi masih berbaki, Muaz.” Tegur Pak Bilal. Muaz tersenyum mendengar teguran dan meminta maaf kepada bilal tua. Pak Bilal berjanji akan membantunya menguruskan urusan untuk menunaikan haji di Makkah kelak. Mereka menyambung kembali pembacaan dan penterjemahan Al-Quran. Ada riak gembira memancar di wajah Muaz setelah Pak Bilal bersedia membantunya!

Anak muda tidak usah menangis selalu. Ia harus tabah menjalani kehidupan yang telah Allah rancang untuknya. Bukan mudah menempuh dunia yang penuh pancaroba ini dengan berbekalkan pancaindera yang serba lengkap, apatah lagi mereka yang diambil penglihatannya. Berjalanlah selagi mampu ke rumah-Nya kerana Allah mengira setiap usaha dan kegigihanmu. Bantulah mereka yang lebih memerlukan darimu kelak. Hiasilah hari-harimu dengan ayat-ayat agung-Nya, basahkan lidahmu dengan berzikir kepada-Nya, dan selubungi hatimu dengan cahaya iman-Nya. Biar kita buta tidak melihat dunia, namun jangan kita buta kerana tidak dapat melihat Allah dan Rasul-Nya di hari akhirat kelak.

Sepanjang dia berjalan menuju ke perhentian bas, kata-kata arwah walidnya itu bermain-main di mindanya. Dia tidak mahu pemandu mengambilnya dari masjid. Dia mahu mengekalkan perjalanannya seperti biasa waima sudah memiliki segalanya.

Sesekali dia menangis kerana merindukan walidnya. Semenjak umi meninggal, dia tinggal bersama walid. Dia anak tunggal. Tiada mempunyai saudara-mara yang lain. Uminya meninggal sewaktu usianya baru mencecah tiga hari akibat kekurangan bekalan darah. Walid yang banyak membentuk jiwa kentalnya, mendidik dirinya, menghiasi akhlaknya dengan kesantunan Melayu dan kesucian Islam, menjadikan dia seorang pemuda yang gagah zahir dan batinnya.

Takdir Tuhan menentukan segalanya, walid kembali dijemput Allah saat dia baru dua hari memulakan perusahaan ikan patin sangkarnya. Dia hilang arah selama seminggu, sebelum Pak Bilal berusaha memulihkan semangatnya. Walid meninggal dunia sewaktu sedang menunggunya untuk berbuka puasa bersama. Syawal pada waktu itu merupakan syawal paling menyedihkan buatnya, menjadikan dia anak yatim piatu.

“Abang nak ke mana?” Soal seorang anak muda yang menghampirinya sambil memimpin tangannya. Muaz tersenyum sambil melangkah bersama. Hatinya berbunga. Masih ada insan yang sudi membantunya waima dia sudah biasa berjalan tanpa mata.
“Abang nak ke perhentian bas.” Ucapnya.

“Oh, kebetulan saya juga mahu ke sana. Mari saya hantarkan.” Balas anak muda itu sambil memimpinnya ke perhentian bas. Mereka berjalan bersama sedang umat manusia yang lain hanya mampu memandang tanpa wajah simpati. Mungkin di hati mereka sudah terhakis rasa membantu, apatah lagi bersimpati dengan insan tiada berpenglihatan sepertinya. Benar jika dikatakan dia sudah mewah dan tidak memerlukan bantuan, tapi bagaimana dengan golongan yang senasib dengannya?

“Terima kasih, dik.” Bisik Muaz saat dia duduk di bangku perhentian bas.

“Sama-sama. Dah menjadi kewajipan saya, bang.” Balas anak muda sebelum meminta izin untuk pergi. Muaz sempat menyeluk sakunya sebelum mengeluarkan wang kertas dan menghulurkan kepada anak muda itu. Si anak muda mengembalikan genggamannya ke sisi sebelum menuturkan bait-bait indah yang jarang sekali dituturkan anak muda seusianya.

“Duit bukan persoalan, bang namun tanggungjawab Muslim atas Muslim itu yang bakal dipersoalkan kelak oleh Allah. Saya minta izin dulu. Assalamualaikum.” Balas si anak muda dengan senyuman. Muaz tersenyum kembali sambil mengangguk perlahan.

Tap! Tap! Tap!

Perlahan-lahan dia berjalan menyusuri lorong kecil menuju ke Masjidil Haram berpandukan tongkat kecil putihnya. Pak Bilal termengah-mengah memimpinnya sedang Muaz begitu teruja untuk kembali menghadap Kaabah lagi. Biarpun sudah dua kali dia membuat ibadah haji, namun kudratnya tetap tidak dapat menandingi anak muda itu. Semalam, buat pertama kalinya dia dapat mengucup Hajarul Aswad dan bersolat di hadapan Kaabah. Dia bertalbiah dengan semangat dan mengalunkan doa dan zikir sepanjang berada di Makkah. Entah mengapa, hari ini perasaannya berbunga-bunga untuk kembali menghadap Kaabah.

“Pak Bilal, seumur hidup saya inilah kali pertama saya merasai ketenangan beribadah sebegini. Tiada risau, malah hati ini sangat tenang menghadap Allah. Inilah yang dikatakan keagungan dan kehebatan Baitullah yang tidak dapat kita rasai di mana-mana ceruk bumi sekalipun, bukan?” Ucap Muaz dengan nada sangat gembira. Pak Bilal mengangguk perlahan. Air matanya Muaz menitis, gembira tidak terkata kerana akhirnya Allah memilih dia menjadi tetamu di tanah barakah ini.

“Kamu nak ke mana?” Soal Pak Bilal melihatkan Muaz melangkah menuju ke Kaabah.
“Saya mahu tawaf.” Ucap Muaz sebelum menapak ke tempat tawaf. Pak Bilal melihat dari jauh. Pemuda itu berjalan seperti orang biasa, tiada lagi terhenti-henti. Lebih menghairankan, dia mengetahui bagaimana untuk memulakan tawaf. Seperti ada sesuatu yang memimpinnya. Lama Pak Bilal memerhati, sebelum dia turut sama bertawaf tidak jauh di belakang Muaz.

“Walid, tawaf ini pahalanya Muaz hadiahkan buat walid. Sekiranya tawaf ini adalah tawaf terakhir dalam hidup Muaz, cuma doa dan harapan Muaz panjatkan agar dapat bertemu dengan walid dan umi di Jannah nanti. Terimalah tawaf wida’ ini untuk walid.” Muaz berbisik sebelum melangkah maju mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.

Usai menyelesaikan tawaf, Muaz terhenti di Multazam. Dia memegang batuan Kaabah sebelum rebah menyembah lantaian Kaabah. Menyedari Muaz hilang dari pandangan, Pak Bilal segera menghabiskan tawaf dan mencari Muaz.

Di tengah-tengah kesesakan manusia bertawaf, kelihatan sekujur tubuh terbaring kaku, tiada dipijak mahupun disepak sesiapa. Ada senyuman terukir di bibir Muaz. Pak Bilal menjerit memanggil namanya.

Banyak mana pun harta kita di atas muka bumi ini, sekiranya Allah tidak mengizinkan menjadi tetamunya, adalah sangat rugi bagi kita. Hari ini kita mungkin miskin harta, namun jangan sesekali kita miskin budi bahasa dan agama. Beribadahlah selagi mana ada masa.

INFO: Tongkat Jibril
• Nama pena bagi Muhammad Alyas Abul Jalil

Friday, October 21, 2011

Guna saluran betul tunai haji: Konsul Jeneral

JEDDAH: Muslimin dari Malaysia dan juga yang sudah bermastautin di Arab Saudi diminta supaya menggunakan saluran yang sah di sisi undang-undang dan peraturan kerajaan Arab Saudi, untuk mengerjakan ibadah haji.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Mohd Khalid Abdul Razak, berkata setiap jemaah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi, iaitu mereka yang sudah menunaikan ibadah itu, hanya dapat menunaikannya buat kali berikutnya lima tahun kemudian. Beliau berkata, bagi rakyat Malaysia, mereka perlu mendapatkan permit untuk menunaikan ibadah haji menerusi ejen muasassah Arab Saudi iaitu Tabung Haji, manakala yang tinggal di Arab Saudi pula, mereka masih perlu mendapatkan kelulusan itu menerusi Tabung Haji, atau boleh memohon terus daripada muasassah Arab Saudi. "Dapat permit, baru mereka boleh mengerjakan haji. Tahun ini Arab Saudi buat pemeriksaan lebih ketat, kerana anda tahu tahun ini lebih tiga juta jemaah dari seluruh dunia akan menunaikan haji, keadaan jadi bertambah sesak," katanya kepada kumpulan media Tabung Haji (TH) selepas satu majlis forum di Pejabat Konsulat Jeneral di sini, malam tadi.

Forum bertajuk "Bagaimana Mendapat Haji Mabrur" yang diadakan dengan kerjasama Pejabat Konsulat dan TH itu disertai oleh ahli panel yang terdiri daripada dua pakar rujuk TH, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad dan Penasihat Majlis Agama Johor, Datuk Noh Gadot.

Mohd Khalid berkata, forum itu diadakan sebagai mengambil peluang kehadiran dua pakar rujuk yang disegani pada musim haji ini untuk menghimpunkan komuniti Malaysia yang berada di Arab Saudi bagi mengeratkan lagi tali silaturrahim.
Forum itu dihadiri kira-kira 300 orang. - BERNAMA 21/10/2011

Wednesday, October 19, 2011

Unit khidmat pelanggan TH di Mekah ronda 24 jam

MEKAH: Kira-kira 75 peratus daripada kes yang ditangani unit perkhidmatan pelanggan Tabung Haji (TH) di sini adalah berkaitan dengan jemaah haji tersasar dari penginapan mereka.

Pengurus Kaunter Perkhidmatan Pelanggan Tabung Haji, Md Pilus Md Yusof, berkata kes ini biasanya membabitkan jemaah haji yang baru menjejakkan kaki ke tanah suci serta warga emas.
Beliau berkata, dalam usaha menangani kes-kes itu, pihaknya menetapkan lapan lokasi penting sekitar Masjidil Haram yang ditempatkan seorang petugas peronda sepanjang masa khusus bagi membantu jemaah haji apabila diperlukan.
"Kami ada 13 peronda yang mengambil giliran bertugas bagi memastikan ada petugas di lokasi itu sepanjang masa," katanya kepada kumpulan media Tabung Haji di sini.

Beliau berkata, unit itu meletakkan sasaran untuk menangani kes-kes jemaah tersasar ini dalam tempoh sejam, namun setakat ini setiap kes berkenaan yang ditanggani unit itu biasanya dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira setengah jam saja.

Md Pilus berkata, anggota peronda ini biasanya akan berusaha membantu jemaah haji dari mana-mana negara sekali pun yang memerlukan bantuan semasa mereka menjalankan tugas, dan tahun ini pihaknya dibekalkan dengan sebuah kenderaan bagi menambahkan lagi keberkesanan unit itu.

Beliau berkata, selain jemaah tersasar, antara yang turut ditangani unit itu ialah aduan barang hilang, gelang atau kad pengenalan jemaah haji hilang, tunjuk arah, masalah berkaitan kediaman dan sebagainya.
Menurutnya gelang pengenalan jemaah adalah kelengkapan penting yang perlu sentiasa dijaga kerana selain memaparkan nama, nombor pasport dan kewarganegaraan jemaah yang memakai gelang itu, ia turut menampilkan nombor telefon unit perkhidmatan pelanggan Tabung Haji.

Beliau berkata, unit itu beroperasi 24 jam sehari bagi memastikan jemaah haji mempunyai 'tempat untuk mengadu' sepanjang masa, tanpa mengira apa jua masalahnya.

"Kami sedia mendengar," katanya. – BERNAMA 19/10/2011

Tuesday, October 18, 2011

Tujuh amalan dianjur sepanjang bulan penuh berkat

Manfaat 10 malam awal Zulhijjah
Oleh Hizbur Rahman
bhnews@bharian.com.my
18/10/2011

KINI kita berada di pertengahan bulan Zulqaedah. Insya-Allah jika dipanjangkan umur, kita bakal bersua dengan bulan Zulhijjah. Bulan yang mulia lagi berkat ini merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan terutamanya pada sepuluh hari pertama dalam bulan ini.
Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr ayat 1-3 maksudnya: “Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah dan bilangan yang genap serta yang ganjil.”
Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan Zulhijjah, manakala yang ganjil ialah hari Arafah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SWT akan hamba-Nya daripada neraka lebih daripada hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi ketika mentafsirkan ayat ketiga dari surah al-Buruj yang bermaksud: “Yang menyaksikan ialah hari Arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Banyak hadis yang menceritakan mengenai kelebihan bulan Zulhijjah ini antaranya, daripada Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar bahawa Baginda SAW bersabda: “Tiada satu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).”

Ibnu Hibban menyatakan di dalam kitab Sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seutama-utama hari adalah hari Arafah.”
Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini, umat Islam dianjur melakukan pelbagai amalan antaranya:
• Pertama: Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan.
• Kedua: berpuasa pada hari berkenaan atau sekadar kemampuan terutamanya pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Puasa pada hari Arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun lalu dan setahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim)
• Ketiga: Memperbanyakkan takbir dan berzikir. Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai dengan lafaz ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa Lillahil Hamdu.”
• Keempat: Bertaubat dengan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba daripada rahmat Allah, manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.
• Kelima: Memperbanyakkan amalan salih terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya digandakan pada hari berkenaan.
• Keenam: Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.
Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat haji, disunatkan bertakbir bermula dari waktu Subuh hari raya dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijjah.
• Ketujuh: Disyariatkan amalan korban iaitu menyembelih haiwan ternakan pada hari raya haji dan hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah amalan nabi Allah Ibrahim AS setelah Allah SWT mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Amalan paling agung pada bulan mulia ini ialah menunaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima. Perjalanan rohani ini merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat yang ditentukan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 97 maksudnya: “Di situ ada tanda keterangan nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; diantaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”

Orang yang menunaikan fardu haji merupakan tetamu Allah SWT. Mereka berkorban harta, tenaga dan masa demi menunaikan perintah Allah. Berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan tinggi jemaah haji dalam membuat persiapan melaksanakan ibadah tersebut, maka diharapkan ibadat haji yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran haji mabrur.

Haji mabrur adalah haji yang diterima dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah SWT, ia merupakan kedudukan yang paling tinggi dan istimewa, malah ingin dikecapi oleh sesiapa sahaja yang menunaikan ibadah haji tersebut.

JEMAAH HAJI MASUK MEKAH

Penerbangan haji yang membawa bakal haji masuk terus ke Mekah telah bermula. Bakal haji lelaki dikehendaki memakai pakaian ihram. Mereka boleh melakukannya di Kompleks Haji. Kemudahan bakal haji agak terhad di Kompleks Haji disebabkan bakal haji yang ramai.
Bakal haji seeloknya melakukan pemakaian ihram di rumah dalam keadaan tenang. Mereka boleh melakukan perkara sunat seperti memotong kuku, bercukur atau mencabut bulu ketiak dan ari- ari dan mandi sunat ihram. Jika pergerakan sebelum waktu Tahrim elok solat sunat Ihram di rumah.
Persiapan dari rumah dapat menimbulkan suasana ibadat dan dapat menetapkan tujuan bakal haji melakukan musafir kerana untuk melakukan ibadat yang diperintahkan oleh Allah. Mereka yang menziarah tujuan mengucapkan selamat jalan juga dapat merasakan keadaan sayu atas perpisahan ini.
Bakal haji juga boleh membuat pilihan untu singgah di masjid berhampiran dengan Kompleks haji jika memulakan perjalanan selepas Asar kerana tidak boleh solat sunat Ihram dan solat musafir di rumah. Bakal haji boleh solat musafir di masjid tersebut kerana telah keluar kariahnya. Selepas solat Jamak Qasar Magrib dan Ishak maka bolehlah solat sunat ihram. Kemudian hampir 2 jam sebelum waktu melapor diri bolehlah bergerak ke Kompleks Haji.
Apabila sampai di Kompleks haji bakal haji dapatkan maklumat apa seharus di lakukan sebelum melapor diri.

Sunday, October 16, 2011

MAKTAB JEMAAH HAJI MALAYSIA DI MEKAH

Jemaah Haji 1432H akan menduduki bangunan di Mekah terletak di antara 500 meter hingga 1000 meter dari Masjidil Haram. Kebanyakan jemaah dari Neraga lain terpaksa mendiami bangunan yang jauh iaitu di luar kawasan Tanah Haram dan akan menaiki bas untuk ke Masjidil Haram. Bangunan tersebut adalah bangunan-bangunan yang besar yang boleh menampung lebih 1,000 orang jemaah. Bangunan tersebut mempunyai kemudahan lif, hawa dingin, ruang legar yang luas.
Jemaah Haji Malaysia ditempat di 15 maktab di Mekahiaitu 10 maktab untuk jemaah haji Muassasah dan 5 maktab untuk Syarikat-syarikat pengelola jemaah haji dan pakej-pekej haji. Setiap maktab diperuntukan 2,500 hingga 2,800 jemaah.
Tabung Haji menyediakan pelbagai kemudahan sepanjang jemaah haji berada di Mekah. Perkhidmatan yang disediakan ialah kaunter kewangan untuk memudahkan jemaah membuat simpanan, pengeluaran, urusan bayaran dam serta korban. Perkhidmatan Pembimbing atau guru-guru agama, pusat perkhidmatan pelanggan, kemudahan kesihatan dan lain-lain lagi.
Jemaah haji telah maklum kedudukan bangunan di Mekah semasa di Tanah Air dalam sesi Kursus yang disediakan.

Friday, October 14, 2011

Tidak ada dam was-was: pakar rujuk

MEKAH: Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya melaksanakan ibadah haji serta umrah dengan penuh yakin dan tidak terikut-ikut dengan sebarang perbuatan meragukan yang mungkin dilakukan oleh jemaah haji dari negara lain.

Pengerusi Pakar Rujuk Tabung Haji, Datuk Seri Hassan Ahmad, berkata perbuatan yang dilakukan oleh jemaah negara lain itu mungkin mengikut Mahzab yang diikuti mereka, atau mungkin juga ia perbuatan khurafat.
Beliau berkata, lebih serius lagi pernah satu ketika dahulu beliau mendengar ada kes jemaah membayar 'dam was-was' kepada pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mengambil kesempatan untuk mendapatkan wang.
"Tidak ada dam was-was, ia cuma sesuatu yang direka-reka oleh pihak tertentu," katanya kepada kumpulan wartawan Tabung Haji di sini.

Beliau berkata, apa yang penting ialah jemaah haji perlu yakin dengan kursus-kursus haji yang dijalani dan bertanya kepada 37 pembimbing yang disediakan Tabung Haji sekiranya ada sebarang keraguan.

"Jika masih ada keraguan, boleh jumpa kami pakar rujuk," kata Hassan yang juga Mufti Pulau Pinang.

Selain beliau, dua lagi pakar rujuk yang disediakan oleh Tabung Haji bagi musim haji kali ini ialah Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadot, dan anggota penasihat Tabung Haji Ustazah Maznah Daud.
Pakar rujuk juga, katanya akan mengadakan perjumpaan dengan semua pembimbing dari semasa ke semasa untuk mendapat maklum balas, memberi penerangan dan membuat penyelarasan berhubung soal haji serta umrah.

Beliau berkata, antara persoalan yang sering diutarakan oleh jemaah berhubung permasalahan haji ialah isu berkaitan haid, dan menurutnya beliau sedang bekerjasama dengan pihak Tabung Haji untuk menerbitkan buku panduan berhubung permasalahan itu untuk diedarkan kepada bakal-bakal haji. - BERNAMA 14/10/2011

Thursday, October 13, 2011

Keberkesanan vaksin Peneumococcal buat jemaah haji sedang dikaji

MEKAH: Jangkitan paru-paru adalah jumlah kes yang paling tinggi dirujuk ke pusat rawatan yang disediakan Tabung Haji bagi jemaah haji Malaysia di sini.

Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Perubatan), Dr Saiful Azlan Sharif, berkata setiap musim haji, kira-kira 60 peratus daripada kes yang dibawa ke pusat rawatan didapati membabitkan kes jangkitan paru-paru, dan ia disusuli dengan rujukan kes berkaitan jantung.
Beliau berkata, sehubungan itu tahun ini pihaknya menjalankan kajian mengenai keberkesanan suntikan vaksin pneumococcal yang disyorkan untuk diambil oleh setiap jemaah haji bagi menangani jangkitan itu.
"Hasil kajian nanti akan dibawa kepada Kementerian Kesihatan untuk dibuat penilaian sekiranya suntikan itu akan diwajibkan buat semua jemaah haji atau sebaliknya nanti," katanya kepada kumpulan wartawan Tabung Haji yang melawat Pusat Rawatan Syisyah di Mina, Rabu.

Katanya, ketika ini hanya suntikan pelalian Meningococcal ACYW 135 diwajibkan bagi semua jemaah haji, manakala suntikan pneumococcal serta vaksin virus influenza hanya disyorkan saja untuk diambil.

Sementara itu, Dr Saiful berkata, Pusat Rawatan Syisyah yang menyediakan 96 katil untuk pesakit di sini dibuka sejak beberapa minggu lalu, dan sehingga kini 130 daripada 252 petugas rombongan perubatan Tabung Haji sudah tiba di tanah suci untuk bertugas.

Beliau berkata, selain Syisyah, pusat rawatan yang turut disediakan bagi jemaah Malaysia di sini ialah Hospital Aziziah di Aiziah, pusat rawatan kecemasan di ibu pejabat Tabung Haji Mekah di hotel Al-Janadiriah dan maktab.
Katanya, daripada 252 petugas rombongan perubatan, 49 terdiri daripada doktor dengan 30 daripadanya adalah doktor pakar, manakala selebihnya adalah anggota paramedik.

Sementara itu, Dr Saiful berkata, dalam usaha pihaknya membantu jemaah yang terlantar di wad menunaikan hajat menyempurnakan ibadah haji, menjelang tiba hari wukuf satu pasukan doktor akan melawat semua hospital yang menempatkan pesakit dari Malaysia, untuk meninjau sekiranya ada pesakit yang dirasakan boleh dibawa untuk mengerjakan wukuf.

Beliau berkata, sekiranya pesakit itu dirasakan boleh dibawa mengerjakan ibadah dengan pemerhatian rapi, pesakit itu akan disyor untuk dibawa keluar hospital menerusi "AOR discharge" (keluar dengan risiko sendiri) dan mereka akan diiringi oleh doktor pakar untuk menunaikan haji sehingga tamat ibadah itu.
- BERNAMA 13/10/2011

Monday, October 10, 2011

Tabung Haji perluas khidmat petugas kewangan bergerak

MEKAH 10 Okt. - Dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan kewangan bagi jemaah haji di tanah suci, Tabung Haji menambah lapan lagi lokasi perkhidmatan bergerak pasukan petugas kewangannya di Mekah dan dua lagi di Madinah, tahun ini.
Pengurus Operasi Kewangan Tabung Haji di Tanah Suci, Mustakim Mohammad berkata, perluasan perkhidmatan itu menjadikan perkhidmatan kaunter kewangan Tabung Haji kini boleh dinikmati di 23 lokasi di Mekah dan empat lokasi di Madinah.
Beliau berkata, pada tahun-tahun sebelum ini pasukan bergerak itu hanya beroperasi di hospital-hospital terpilih di sini untuk kemudahan beberapa jemaah yang sedang menerima rawatan, namun kini perkhidmatannya diperluaskan ke lokasi-lokasi bangunan tempat penginapan jemaah secara berjadual.
"Antara perkhidmatan disediakan di kaunter-kaunter ini ialah urusan simpanan, pengeluaran, dan kutipan bayaran korban dan dam,” katanya kepada petugas media Tabung Haji di sini.
Menurutnya, petugas kewangan bagi musim haji kali ini berjumlah 45 orang dengan 36 ditempatkan di Mekah dan sembilan lagi di Madinah. - Bernama

Jemaah haji dinasihat menjaga imej dan maruah negara - titah Agong

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah agar jemaah haji Malaysia menjaga imej dan maruah negara apabila berada di Tanah Suci.
Baginda turut bertitah agar semua jemaah haji sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa tempatan serta peraturan-peraturan yang digariskan Tabung Haji kerana ia dilaksanakan untuk menjamin keselamatan jemaah serta melicinkan lagi proses mengerjakan haji.
"Beta berharap para jemaah sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni terutamanya dalam kalangan jemaah haji itu sendiri, mengamalkan sikap bertolak ansur dan saling mengingati antara satu sama lain," titah Seri Paduka sambil mengucapkan selamat jalan kepada 447 jemaah haji yang akan berangkat ke tanah suci di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya di sini hari ini.

Jemaah-jemaah tersebut terdiri daripada 206 lelaki dan 241 perempuan yang terpilih bagi penerbangan ke-36 tahun ini yang dijangkakan tiba di Madinah pada 11.50 malam (6.50 petang waktu Madinah). - Bernama

Sunday, October 9, 2011

Jemaah haji Malaysia tiba di Mekah

MEKAH: Kumpulan pertama 441 jemaah haji Malaysia tiba di Mekah kira-kira jam 1.30 pagi ini (6.30 pagi waktu Malaysia), sembilan hari selepas melaksanakan ibadah ziarah di Madinah.

Ketibaan mereka di Hotel Abraj Al-janadiriah disambut oleh Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman, Timbalannya Tengku Aziz Raja Abdullah serta pegawai-pegawai dari Muasassah Asia Tenggara. Semua 193 jemaah lelaki dan 248 jemaah wanita iaitu kumpulan yang tiba ke Madinah dengan penerbangan pertama pada 29 September lalu, jelas keletihan selepas mengharungi perjalanan dengan bas selama kira-kira tujuh jam untuk sampai ke sini. Selepas berehat beberapa jam, mereka dibawa untuk melakukan tawaf dan saie umrah.

Antara jemaah yang tiba di sini pagi ini ialah Ibrahim Abdul Hamid, 73, dari Seremban yang dibantu, ditolak dengan kerusi roda oleh petugas Tabung Haji Perubatan.

Beliau yang mengalami keretakan tulang di bahagian pergelangan tangan dan menerima lima jahitan di bahagian kening kanannya akibat terjatuh semasa berada di hotel penginapannya beberapa hari selepas tiba di Madinah, amat berterima kasih dengan bantuan yang diberikan Tabung Haji.

Katanya, balutan tangannya itu akan hanya dibuka apabila beliau kembali ke tanah air nanti, dan semasa berada di sini bersama isterinya, beliau pasti masih memerlukan bantuan Tabung Haji untuk menyempurnakan ibadah hajinya.
Sementara itu seorang lagi jemaah yang ditemui, Daim Bahari, 70, peneroka dari FELDA Utara Trolak, Perak, berkata, beliau amat bersyukur kerana diberi peluang menyempurnakan hasrat untuk bersolat 40 waktu di Masjid Al-Nabawi, Madinah.

Katanya, beliau menunggu selama kira-kira tujuh tahun untuk menunaikan ibadah haji, dan kini dengan bantuan Tabung Haji hasratnya untuk beribadah di tanah suci akhirnya tercapai. - BERNAMA. 8/10/2011

Saturday, October 8, 2011

Tabung Haji diarah teliti kaedah pengeluaran

Lembaga Tabung Haji diarah supaya meneliti kaedah pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pencarum membuat pendaftaran awal untuk mengerjakan haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Tabung Haji akan meneliti kaedah itu agar ia dapat dilaksanakan serta merta menjelang Januari depan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2012 di Parlimen hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan langkah kerajaan untuk membenarkan pencarum KWSP membuat pendaftaran awal bagi menunaikan ibadah haji menerusi penghadangan atau "ring-fencing" Akaun 2, bertujuan membuka lebih ruang kepada rakyat berpendapatan rendah menunaikan ibadah tersebut.

Sambil menyifatkan belanjawan itu sebagai 'belanjawan untuk kesejahteraan akhirat', Jamil Khir berkata menerusi kaedah itu, mereka yang berpendapatan rendah dan tidak mempunyai tabungan minimum RM1,300 boleh mendaftar awal dan mendapat giliran untuk menunaikan ibadat tersebut tanpa mendeposit di akaun Tabung Haji.

"Kaedah ini akan memudahkan mereka yang berpendapatan rendah terutama kakitangan kerajaan, kerana mereka tidak perlu menunggu simpanan mencukupi RM1,300.

"Mereka yang memiliki potongan KWSP mencukupi RM1,300 boleh terus mendaftar dengan Tabung Haji untuk menunaikan ibadat haji dan simpanan dalam KWSP itu tidak akan dipotong," katanya ketika dihubungi hari ini.

"Tabung Haji akan berurusan dengan KWSP dalam hal ini dan Januari nanti, rakyat boleh terus mendaftar giliran untuk menunaikan ibadat haji," katanya.

Ketika ini, mereka yang ingin mendaftar bagi menunaikan ibadat haji perlu mempunyai akaun Tabung Haji dengan baki simpanan tidak kurang RM1,300.

Jamil Khir juga berkata ketika ini, Tabung Haji mempunyai 5.7 juta pendeposit dengan lebih 733,000 telah mendaftar untuk menunaikan ibadat haji.

- Bernama 7/10/2011

Friday, October 7, 2011

Jemaah tanpa ilmu agama mudah silap

Batu Gua Hira didakwa berkat, bijirin burung sembuh penyakit

MAKKAH: Jemaah yang tiba di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah tanpa mempunyai ilmu serta keyakinan Islam kukuh, dilihat mempunyai kecenderungan menyimpang daripada ajaran agama termasuk mempercayai batu tertentu boleh mengubati penyakit.
Akhbar Arab News mengesan sejumlah jemaah ke Gua Hira’ di mana wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW atau bukit Jabal Rahmah di Arafah dengan mempercayai ia adalah sebahagian daripada ibadat umrah atau tempat memohon petunjuk Allah.
Malah, sesetengah mereka mengambil batu dari gunung itu dan membawanya pulang ke tanah air sambil mendakwa ia untuk keberkatan keluarga.

Selain itu, ada juga jemaah yang mengutip bijirin yang diberikan kepada burung merpati atau burung lain berdekatan Masjidil Haram untuk mengubati penyakit mereka atau ahli keluarga.

Bijirin itu dijual warga asing di dalam beg plastik kecil dengan harga 1 riyal (85 sen) dan dibeli untuk memberi burung makan. Gandum dan bijirin itu boleh diperoleh di kawasan Al-Masfalah, Al-Hafair, Ghazah dan kawasan lain berdekatan Masjidil Haram.

Ditanya mengapa mengutip makanan burung itu, jemaah dari Pakistan, Riyasa Ghulam, 60, berkata isterinya yang muda enam tahun daripadanya mandul dan gagal mendapatkan anak sepanjang usia perkahwinan mereka.
“Kami sudah mencuba pelbagai rawatan. Seorang rakan menyarankan ketika mengerjakan umrah ambil peluang makan makanan burung merpati.

“Kini, selama seminggu kami makan tujuh bijirin sehari dan masih menunggu keputusan,” katanya.

Seorang jemaah dari Mesir pula, berkata isterinya mengalami sawan dan tidak boleh diubati.

Katanya, seorang rakan menasihatkan beliau mendapatkan makanan yang diberikan kepada burung untuk mengubati isterinya.

“Rakan berkata isteri saya perlu makan tiga biji setiap kali makan untuk tiga hari berturut-turut. Dua minggu sudah berlalu tetapi isteri saya tidak bertambah baik,” kata Ismail.

Beliau berkata rakannya berpesan supaya makan bijirin yang tidak pecah dan perlu dimakan sekali gus.

“Kami mengikut nasihatnya tetapi tiada apa pun berlaku,” katanya.

Pengarah Pengajian Islam di Universiti Umm Al Qurah, Muhammad Al-Suhali, berkata hanya umat Islam yang mempunyai keyakinan lemah dan ilmu mengenai agama yang sedikit akan melakukan perkara berkenaan. – Agensi 7/10/2011

Thursday, October 6, 2011

Peraturan baru diperkenal di Madinah untuk keselesaan jemaah

MADINAH : Badan pengurusan perjalanan haji Arab Saudi di kota Madinah memperkenalkan beberapa peraturan baru tahun ini bagi kemudahan dan keselesaan jemaah haji.

Pengerusi Muasassah Adillak (National Adilla Establishment), Dr Yusof Hawala, berkata pada musim haji tahun ini, jemaah tidak akan dibenar meninggalkan Madinah menuju ke Makkah bagi menyempurnakan urusan haji selepas jam 11 malam.
Beliau berkata, peraturan itu bertujuan memberikan keselesaan kepada jemaah haji apabila mereka tiba di Makkah nanti bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah dengan lebih sempurna dan selamat.
"Jemaah juga diminta meninggalkan Madinah untuk ke Makkah selewat-lewatnya 5 Zulhijjah (empat hari sebelum hari wukuf)," katanya kepada kumpulan petugas media Tabung Haji di sini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama dengan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman, yang membuat kunjungan hormat di pejabatnya.

Dr Yusof berkata, bagi fasa dua urusan haji pula, jemaah hanya dibenar memasuki kota Madinah selepas 14 Zulhijjah, iaitu lima hari selepas hari wukuf untuk program ziarah.

Beliau berkata, segala usaha yang dilakukan pihaknya disasarkan untuk memberi kemudahan keluar dan masuk jemaah haji di kota Madinah, agar dapat memberi keselesaan kepada para jemaah dalam menunaikan rukun Islam yang kelima itu.
Merujuk kepada urusan haji jemaah dari dari Malaysia, katanya beliau mendapat kerjasama yang cukup baik daripada Tabung Haji yang banyak mengadakan perbincangan dengan pihaknya untuk melicinkan perjalanan haji.

Beliau berkata, pihak Tabung Haji mengadakan beberapa perjumpaan dengan pihaknya sejak awal tahun, dan beliau berharap hubungan baik dengan Tabung Haji itu akan berterusan. - BERNAMA 6/10/2011

Tuesday, October 4, 2011

Jemaah haji diingat jangan sembunyi penyakit

MADINAH: Jemaah haji diingatkan supaya tidak memalsukan atau cuba menyembunyikan sebarang maklumat mengenai penyakit yang dialami semata-mata kerana hendak menunaikan haji.
Pengarah Operasi Haji (Perubatan) Madinah, Dr Mahyin Kudong, berkata setiap tahun pihaknya menemui kes membabitkan jemaah menyembunyikan atau cuba memalsukan maklumat mengenai keadaan kesihatan kerana bimbang tidak akan dibenarkan mengerjakan haji.
Beliau berkata, tindakan jemaah menyembunyikan penyakit akan hanya menyukarkan pihak perubatan mengesan masalah kesihatan yang dialami jemaah dengan segera sekiranya mereka jatuh sakit secara tiba-tiba di sini.

"Jemaah perlu jaga banyak perkara, ubat mesti diambil pada masanya, minum air mesti banyak, jangan terdedah lama kepada cahaya matahari, banyakkan berehat, dan pastinya langkah menyembunyikan penyakit akan hanya tambah menyulitkan keadaan," katanya kepada pasukan petugas media Tabung Haji di pusat rawatan jemaah haji di bangunan Alauddin di sini.

Dr Mahyin berkata, antara penyakit yang sering cuba disembunyikan jemaah ialah seperti diabetis, sakit buah pinggang dan darah tinggi.

Terdahulu, petugas media dibawa meninjau kemudahan rawatan yang disediakan di pusat rawatan dengan kemudahan 20 katil untuk pesakit yang baru dibuka beberapa hari lalu.
Dr Mahyin berkata, jumlah katilnya boleh ditambah lagi jika perlu dan menurut beliau setiap tahun jumlah katil sememangnya perlu ditambah kerana jumlah pesakit yang banyak.

"Jika jumlah katil yang ditambah sudah tidak cukup lagi, barulah pesakit dihantar ke hospital kerajaan Arab Saudi, tapi setakat ini tidak ada jemaah yang dihantar ke hospital Arab Saudi kerana masalah kurang katil. Cuma jika jumlah katil ditambah apabila perlu, ruangnya mungkin tidak cukup selesa, tapi biasanya tidak serius dan tidak berpanjangan," katanya.

Beliau berkata, rombongan perubatan haji kali ini terdiri daripada 253 petugas dengan 30 terdiri daripada doktor pakar, 19 pegawai perubatan, manakala selebihnya penolong pegawai perubatan serta jururawat. Mereka ditugaskan di dua bandar utama, Mekah dan Madinah.

Di Madinah satu pasukan perubatan dengan seorang doktor sentiasa ditempatkan di lapangan terbang sebaik saja penerbangan membawa jemaah haji dari Malaysia tiba, dan satu pasukan dengan diterajui dua doktor ditempatkan di dua tempat penginapan jemaah utama di Madinah, masing-masing satu pasukan di Hotel Al-Haram dan Hotel Movenpick. Selebihnya ditempatkan di bangunan Alauddin di sini. - BERNAMA 4/10/2011

Sunday, October 2, 2011

Bawa impian arwah suami ke Makkah


Oleh Nadia Hamid
nnadia@bharian.com.my
2011/10/01

JEMAAH berteduh di khemah ketika menunggu untuk mendaftar di pekarangan Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.
Warga tua guna wang simpanan hasil berniaga kain

KELANA JAYA: Seorang warga emas berusia 70 tahun yang berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadat haji awal pagi tadi, turut membawa impian Allahyarham suami yang berhajat mengerjakan rukun Islam kelima itu bersama-sama sebelum menemui ajal, kira-kira tiga tahun lalu.
Suwayah Wahab, berkata beliau terkilan Allahyarham yang meninggal dunia akibat demam teruk, tidak bersama menemaninya menunaikan ibadat haji.
Mak cik juga terkenang impian arwah suami berkobar-kobar mahu tunai haji bersama, tetapi menghadap-Nya dulu. - Suwayah Wahab, Jemaah haji
“Ketika diberitahu mak cik boleh tunaikan haji kali ini, mak cik gembira sangat hingga mengalirkan air mata. Mak cik juga terkenang impian arwah suami yang berkobar-kobar mahu tunaikan haji bersama, tetapi dipanggil menghadap-Nya dulu.

“Sebenarnya, rancangan menunaikan haji dibuat sejak 2007, namun mak cik terpaksa merayu setiap tahun,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini, malam tadi.

Suwayah bersama 450 jemaah lain berlepas ke Tanah Suci melalui penerbangan kelima, kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Suwayah dari Taiping, Perak, berkata, beliau ditemani adik perempuannya sepanjang mengerjakan ibadat.
“Walaupun sakit lutut, saya gunakan tongkat supaya lebih cepat dan cergas untuk beribadat," katanya yang menggunakan wang simpanan hasil berniaga kain dan runcit kecil-kecilan untuk berangkat ke Tanah Suci.

Bagi Che Anuar Che Mat, 47 dari Jerantut, Pahang, beliau dan lebih 20 ahli keluarga berkumpul di kompleks itu di sini, sambil membawa bekalan makanan sejak jam 12 tengah hari semalam bagi mengucapkan selamat jalan kepada kakaknya, Che Gayah Che Mat ke Tanah Suci.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Negeri Lembaga Tabung Haji, Mohd Rafidi Ibrahim, berkata penerbangan keempat bagi musim haji kali ini berlepas dari Stesen Haji Kuala Terengganu, pagi semalam.

“Cuaca di Madinah panas dan kering sekarang. Keadaan adalah terkawal,” katanya.

Sementara itu, perkarangan kompleks sesak sejak jam 3 petang semalam dengan kehadiran lebih 1,000 ahli keluarga jemaah.

Saturday, October 1, 2011

Lambaian Kaabah: Jemaah datang 6 jam awal elak kesesakan

KUALA LUMPUR: Kebanyakan jemaah haji dan keluarga mula berkumpul di perkarangan Kompleks Haji Kelana Jaya, di sini semalam, enam jam lebih awal dari waktu melapor diri bagi mengelakkan kesesakan.
Walaupun hujan sejak jam 3 petang, jemaah dan ahli keluarga tidak menghadapi masalah kerana Tabung Haji (TH) menyediakan khemah yang mencukupi untuk mereka berteduh.

Seorang keluarga jemaah haji yang ditemui, Iskandar Riat, 38, berkata, dia dan keluarga akan menunggu di lokasi berkenaan sehingga ibunya dibawa menaiki bas yang disediakan pihak TH ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jam 11 malam.
Katanya dia dan keluarganya mengambil keputusan untuk datang awal kerana bimbang mungkin berlakunya kelewatan dan tidak mendapat parkir disebabkan jumlah keluarga yang datang dijangka lebih ramai.

"Walaupun saya dan keluarga hanya tinggal di Klang namun kami tetap bimbang berlakunya kelewatan seperti mana ketika kami menghantar ayah kami ke sini dua tahun lalu sehingga ayah tertinggal barang kerana mengejar masa untuk melapor diri.

"Kami tidak mahu perkara ini berulang lagi oleh itu kami mengambil keputusan datang lebih awal supaya dapat melakukan persiapan lebih rapi dan ibu dapat berehat dulu sementara menunggu masa melaporkan diri,” katanya.
Bagi Ismah Ruslan, 26, ayahnya sendiri meminta mereka untuk menghantarnya lebih awal agar dia dapat membuat persiapan dengan lebih lengkap dan tidak berebut-rebut ketika sampai di kompleks berkenaan.

“Mujurlah kami sampai awal di sini, memudahkan kami kerana orang pun masih belum ramai dan kami dapat berteduh di khemah walaupun hujan.
“Ayah memang seorang yang suka pergi awal ke mana-mana sekiranya dia ada urusan penting dan kami pun tidak menolak permintaannya untuk menghantarnya ke Kompleks TH ini lebih awal dari waktu sepatutnya,” katanya. myMetro 1/10/2011

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes