Friday, October 21, 2011

Guna saluran betul tunai haji: Konsul Jeneral

JEDDAH: Muslimin dari Malaysia dan juga yang sudah bermastautin di Arab Saudi diminta supaya menggunakan saluran yang sah di sisi undang-undang dan peraturan kerajaan Arab Saudi, untuk mengerjakan ibadah haji.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Mohd Khalid Abdul Razak, berkata setiap jemaah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi, iaitu mereka yang sudah menunaikan ibadah itu, hanya dapat menunaikannya buat kali berikutnya lima tahun kemudian. Beliau berkata, bagi rakyat Malaysia, mereka perlu mendapatkan permit untuk menunaikan ibadah haji menerusi ejen muasassah Arab Saudi iaitu Tabung Haji, manakala yang tinggal di Arab Saudi pula, mereka masih perlu mendapatkan kelulusan itu menerusi Tabung Haji, atau boleh memohon terus daripada muasassah Arab Saudi. "Dapat permit, baru mereka boleh mengerjakan haji. Tahun ini Arab Saudi buat pemeriksaan lebih ketat, kerana anda tahu tahun ini lebih tiga juta jemaah dari seluruh dunia akan menunaikan haji, keadaan jadi bertambah sesak," katanya kepada kumpulan media Tabung Haji (TH) selepas satu majlis forum di Pejabat Konsulat Jeneral di sini, malam tadi.

Forum bertajuk "Bagaimana Mendapat Haji Mabrur" yang diadakan dengan kerjasama Pejabat Konsulat dan TH itu disertai oleh ahli panel yang terdiri daripada dua pakar rujuk TH, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad dan Penasihat Majlis Agama Johor, Datuk Noh Gadot.

Mohd Khalid berkata, forum itu diadakan sebagai mengambil peluang kehadiran dua pakar rujuk yang disegani pada musim haji ini untuk menghimpunkan komuniti Malaysia yang berada di Arab Saudi bagi mengeratkan lagi tali silaturrahim.
Forum itu dihadiri kira-kira 300 orang. - BERNAMA 21/10/2011

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes