Saturday, October 1, 2011

Lambaian Kaabah: Jemaah datang 6 jam awal elak kesesakan

KUALA LUMPUR: Kebanyakan jemaah haji dan keluarga mula berkumpul di perkarangan Kompleks Haji Kelana Jaya, di sini semalam, enam jam lebih awal dari waktu melapor diri bagi mengelakkan kesesakan.
Walaupun hujan sejak jam 3 petang, jemaah dan ahli keluarga tidak menghadapi masalah kerana Tabung Haji (TH) menyediakan khemah yang mencukupi untuk mereka berteduh.

Seorang keluarga jemaah haji yang ditemui, Iskandar Riat, 38, berkata, dia dan keluarga akan menunggu di lokasi berkenaan sehingga ibunya dibawa menaiki bas yang disediakan pihak TH ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jam 11 malam.
Katanya dia dan keluarganya mengambil keputusan untuk datang awal kerana bimbang mungkin berlakunya kelewatan dan tidak mendapat parkir disebabkan jumlah keluarga yang datang dijangka lebih ramai.

"Walaupun saya dan keluarga hanya tinggal di Klang namun kami tetap bimbang berlakunya kelewatan seperti mana ketika kami menghantar ayah kami ke sini dua tahun lalu sehingga ayah tertinggal barang kerana mengejar masa untuk melapor diri.

"Kami tidak mahu perkara ini berulang lagi oleh itu kami mengambil keputusan datang lebih awal supaya dapat melakukan persiapan lebih rapi dan ibu dapat berehat dulu sementara menunggu masa melaporkan diri,” katanya.
Bagi Ismah Ruslan, 26, ayahnya sendiri meminta mereka untuk menghantarnya lebih awal agar dia dapat membuat persiapan dengan lebih lengkap dan tidak berebut-rebut ketika sampai di kompleks berkenaan.

“Mujurlah kami sampai awal di sini, memudahkan kami kerana orang pun masih belum ramai dan kami dapat berteduh di khemah walaupun hujan.
“Ayah memang seorang yang suka pergi awal ke mana-mana sekiranya dia ada urusan penting dan kami pun tidak menolak permintaannya untuk menghantarnya ke Kompleks TH ini lebih awal dari waktu sepatutnya,” katanya. myMetro 1/10/2011

1 comments:

Hj Mazlan said...

Bakal Haji tidak perlu berada di Kompleks Haji terlalu awal kerana akan menyebabkan kesesakan di sana terutamanya jika ada 2 penerbangan sehari. Seelok-eloknya berada di Kelana Jaya 2 jam sebelum waktu lapor diri.
Penghantar tidak perlu ramai bagi mengelakkan kesesakan.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes