Sunday, October 2, 2011

Bawa impian arwah suami ke Makkah


Oleh Nadia Hamid
nnadia@bharian.com.my
2011/10/01

JEMAAH berteduh di khemah ketika menunggu untuk mendaftar di pekarangan Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.
Warga tua guna wang simpanan hasil berniaga kain

KELANA JAYA: Seorang warga emas berusia 70 tahun yang berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadat haji awal pagi tadi, turut membawa impian Allahyarham suami yang berhajat mengerjakan rukun Islam kelima itu bersama-sama sebelum menemui ajal, kira-kira tiga tahun lalu.
Suwayah Wahab, berkata beliau terkilan Allahyarham yang meninggal dunia akibat demam teruk, tidak bersama menemaninya menunaikan ibadat haji.
Mak cik juga terkenang impian arwah suami berkobar-kobar mahu tunai haji bersama, tetapi menghadap-Nya dulu. - Suwayah Wahab, Jemaah haji
“Ketika diberitahu mak cik boleh tunaikan haji kali ini, mak cik gembira sangat hingga mengalirkan air mata. Mak cik juga terkenang impian arwah suami yang berkobar-kobar mahu tunaikan haji bersama, tetapi dipanggil menghadap-Nya dulu.

“Sebenarnya, rancangan menunaikan haji dibuat sejak 2007, namun mak cik terpaksa merayu setiap tahun,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini, malam tadi.

Suwayah bersama 450 jemaah lain berlepas ke Tanah Suci melalui penerbangan kelima, kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Suwayah dari Taiping, Perak, berkata, beliau ditemani adik perempuannya sepanjang mengerjakan ibadat.
“Walaupun sakit lutut, saya gunakan tongkat supaya lebih cepat dan cergas untuk beribadat," katanya yang menggunakan wang simpanan hasil berniaga kain dan runcit kecil-kecilan untuk berangkat ke Tanah Suci.

Bagi Che Anuar Che Mat, 47 dari Jerantut, Pahang, beliau dan lebih 20 ahli keluarga berkumpul di kompleks itu di sini, sambil membawa bekalan makanan sejak jam 12 tengah hari semalam bagi mengucapkan selamat jalan kepada kakaknya, Che Gayah Che Mat ke Tanah Suci.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Negeri Lembaga Tabung Haji, Mohd Rafidi Ibrahim, berkata penerbangan keempat bagi musim haji kali ini berlepas dari Stesen Haji Kuala Terengganu, pagi semalam.

“Cuaca di Madinah panas dan kering sekarang. Keadaan adalah terkawal,” katanya.

Sementara itu, perkarangan kompleks sesak sejak jam 3 petang semalam dengan kehadiran lebih 1,000 ahli keluarga jemaah.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes