Thursday, October 13, 2011

Keberkesanan vaksin Peneumococcal buat jemaah haji sedang dikaji

MEKAH: Jangkitan paru-paru adalah jumlah kes yang paling tinggi dirujuk ke pusat rawatan yang disediakan Tabung Haji bagi jemaah haji Malaysia di sini.

Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Perubatan), Dr Saiful Azlan Sharif, berkata setiap musim haji, kira-kira 60 peratus daripada kes yang dibawa ke pusat rawatan didapati membabitkan kes jangkitan paru-paru, dan ia disusuli dengan rujukan kes berkaitan jantung.
Beliau berkata, sehubungan itu tahun ini pihaknya menjalankan kajian mengenai keberkesanan suntikan vaksin pneumococcal yang disyorkan untuk diambil oleh setiap jemaah haji bagi menangani jangkitan itu.
"Hasil kajian nanti akan dibawa kepada Kementerian Kesihatan untuk dibuat penilaian sekiranya suntikan itu akan diwajibkan buat semua jemaah haji atau sebaliknya nanti," katanya kepada kumpulan wartawan Tabung Haji yang melawat Pusat Rawatan Syisyah di Mina, Rabu.

Katanya, ketika ini hanya suntikan pelalian Meningococcal ACYW 135 diwajibkan bagi semua jemaah haji, manakala suntikan pneumococcal serta vaksin virus influenza hanya disyorkan saja untuk diambil.

Sementara itu, Dr Saiful berkata, Pusat Rawatan Syisyah yang menyediakan 96 katil untuk pesakit di sini dibuka sejak beberapa minggu lalu, dan sehingga kini 130 daripada 252 petugas rombongan perubatan Tabung Haji sudah tiba di tanah suci untuk bertugas.

Beliau berkata, selain Syisyah, pusat rawatan yang turut disediakan bagi jemaah Malaysia di sini ialah Hospital Aziziah di Aiziah, pusat rawatan kecemasan di ibu pejabat Tabung Haji Mekah di hotel Al-Janadiriah dan maktab.
Katanya, daripada 252 petugas rombongan perubatan, 49 terdiri daripada doktor dengan 30 daripadanya adalah doktor pakar, manakala selebihnya adalah anggota paramedik.

Sementara itu, Dr Saiful berkata, dalam usaha pihaknya membantu jemaah yang terlantar di wad menunaikan hajat menyempurnakan ibadah haji, menjelang tiba hari wukuf satu pasukan doktor akan melawat semua hospital yang menempatkan pesakit dari Malaysia, untuk meninjau sekiranya ada pesakit yang dirasakan boleh dibawa untuk mengerjakan wukuf.

Beliau berkata, sekiranya pesakit itu dirasakan boleh dibawa mengerjakan ibadah dengan pemerhatian rapi, pesakit itu akan disyor untuk dibawa keluar hospital menerusi "AOR discharge" (keluar dengan risiko sendiri) dan mereka akan diiringi oleh doktor pakar untuk menunaikan haji sehingga tamat ibadah itu.
- BERNAMA 13/10/2011

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes