Saturday, November 5, 2011

Lambaian Kaabah: 28,000 jemaah menuju Arafah

Tabung Haji sedia 700 bas bergerak secara berperingkat mulai jam 3 petang

MAKKAH: Seramai 28,000 jemaah haji Malaysia adalah antara kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia yang mula bergerak menuju ke Arafah kira-kira 20 kilometer dari sini, semalam, untuk berwukuf hari ini.
Pengurus Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Mohamad Naser Jaffar, berkata Tabung Haji menyediakan 700 bas bagi membawa jemaah haji Malaysia secara berperingkat mulai jam 3 petang (8 malam waktu Malaysia), selepas solat Jumaat.
“Perjalanan dari kota Makkah ke Arafah dijangka mengambil masa sejam setengah dan kumpulan terakhir dijangka tiba sebelum subuh hari ini,” katanya di sini, semalam.

Katanya, petugas Tabung Haji digerakkan seawal jam 7.30 pagi (12.30 tengah hari waktu Malaysia) bagi memastikan segala persediaan awal untuk menerima ketibaan jemaah haji Malaysia dapat disempurnakan.

Semua kemudahan dan keperluan asas jemaah seperti khemah, makan minum, peralatan lain serta kemudahan tandas, juga dalam keadaan yang baik.

Sementara itu, tinjauan mendapati suasana jalan-jalan di sekitar kota Makkah sudah mulai sesak dengan bas-bas besar bergerak menuju ke Arafah.
Selain itu, akhbar harian berbahasa Inggeris di sini, memetik beberapa tokoh ulama terkenal termasuk Mufti Besar Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh meminta semua umat Islam termasuk jemaah untuk mengelak daripada menunaikan kelima-lima solat fardu di Masjidil Haram di Makkah bagi mengurangkan kesesakan di dalam masjid.

“Keseluruhan Makkah dianggap sebagai kawasan Tanah Haram (tempat suci) dan pahala bersembahyang di mana-mana masjid di Makkah adalah sama dengan bersolat di Masjidil Haram,” kata Sheikh Abdul Aziz yang dipetik akhbar harian Okaz.

Beliau juga tidak menggalakkan jemaah melakukan umrah berulang kali yang disifatkannya boleh menimbulkan kesesakan teruk dan membahayakan jemaah.

Bagaimanapun, Sheikh Yousuf Al-Qaradawi, Presiden Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa menjelaskan bahawa al-Quran menyatakan Masjidil Haram merujuk kepada kawasan Kaabah. – BERNAMA 5/11/2011

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes