Friday, November 11, 2011

Kumpulan pertama jemaah haji pulang esok

MAKKAH: Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah jam 7.25 pagi Sabtu (12.25 tengah hari waktu Malaysia) dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.25 malam waktu Malaysia.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman, berkata sementara itu jemaah haji dari kumpulan pertama ke Madinah dari sini pula akan berlepas pada 16 November ini dan kumpulan pertama dari Madinah yang akan kembali ke tanah air ialah pada 27 November.
Beliau berkata, 33 peratus daripada jemaah haji Malaysia akan kembali ke tanah air menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad di Madinah, manakala selebihnya menerusi Jeddah.
"Penerbangan terakhir dari tanah suci ialah pada 10 Disember ini dan ia tiba di tanah air pada keesokkan harinya," katanya kepada kumpulan media Tabung Haji, di sini.

Sementara itu, merujuk kepada operasi pengurusan jemaah haji Malaysia kali ini, Syed Salleh berkata beliau besyukur kerana segala yang dirancang berjalan dengan lancar.

Menurutnya, sedikit kelewatan memang sudah dijangkakan, namun secara keseluruhan pergerakan jemaah berjalan dengan baik tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Beliau berkata, satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah daripada segi jumlah pesakit dan jumlah kematian di kalangan jemaah haji tahun ini yang dilihat semakin berkurangan berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, ia mungkin berpunca daripada faktor kesedaran jemaah haji mengenai kepentingan untuk menjaga kesihatan sepanjang tempoh berada di tanah suci dan mungkin juga disebabkan aspek persekitaran yang semakin bertambah baik.

Daripada segi perkhidmatan, Syed Salleh berkata beliau melihat pelaksanaan program Sahabat Tabung Haji, Sahabat Ibadah Tabung Haji serta program Jemaah Haji Warga Emas yang dibantu secara seorang ke seorang, cukup berkesan dalam membantu jemaah haji.

Menurutnya, program yang melalui penambahbaikan dari semasa ke semasa itu sudah pasti akan dapat memantapkan lagi usaha Tabung Haji dalam memberi bantuan yang lebih baik kepada jemaah haji Malaysia.

Pada masa sama, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada pihak media yang turut bertungkus lumus menyampaikan berita dan maklumat mengenai perjalanan ibadah haji di tanah suci tanpa mengira masa. - BERNAMA 11/11/2011

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes