Friday, February 4, 2011

UJIAN PERTAMA MENGHADIRI KURSUS

Bakal Haji 1432H, mereka yang merayu, mereka yang telah mendaftar haji, pelajar Tingkatan 4 dan 5 dan orang ramai disarankan menghadiri Kursus Asas Haji yang dijalankan di Masjid yang terpilih. Sebelum hadir kursus, kita hendaklah membuat persiapan diri iaitu mendapatkan maklumat awal berkaitan modul yang akan dilalui. Dapatkan buku rujukan, seeloknya buku dan DVD Haji terbitan Tabung Haji. ( Rujuk catatan bertarikh 7 Ogos 2010, 4 Mei 2010 dan 26 April 2010 atau klik pada gambar buku atau DVD ) Pemikiran hendaklah terbuka supaya mudah menerima panduan yang disampaikan. Ilmu umpama Air, ia akan mengalir dikawasan rendah maka tidak rugi jika kita merendahkan diri kepada Pembimbing. Hendaklah kita datang awal supaya kursus dapat dijalankan mengikut masa yang ditentukan. Ini dapat melatih kita menepati masa.
Tempat kursus adalah di masjid iaitu tempat yang mulia. Kita dapat membiasakan diri dengan masjid dan melakukan perkara-perkara sunat seperti Solat Tahiyat Masjid, Solat sunat Duhah, Iktikaf dan membaca Al Quran semasa menunggu waktu kursus bermula. Kursus biasanya diadakan di Dewan masjid tapi jika kursus di ruang solat jangan lupa niat iktikaf. Semasa mengikuti kursus hendaklah sebolehnya dalam wuduk supaya dapat melatih diri dalam keadaan wuduk sepanjang masa dan Insya Allah mendapat pahala dan keberkatan daripada Allah s.w.t. Semasa di Tanah Suci kita akan berada dalam keadaan wuduk yang lama kerana susah untuk mengambil wuduk.
Semasa mendaftar kita akan diuji dengan wang ringgit iaitu dengan mengeluarkan wang untuk mendaftaran. Selama tempuh 17 siri kita akan diuji untuk menderma semasa Tabung Kursus diedarkan. Inilah peluang kita membersihkan harta kita. Tapi jangan terlalu mudah berbelanja kerana semasa kursus ada pihak-pihak tertentu berniaga pelbagai barangan di luar.
Semasa kursus ada waktu rehat dan disediakan minuman. Pada masa itu boleh melatih kita untuk menjaga kebersihan dan membantu meletakan bekas minuman dan makanan di tempat yang di sediakan. Memanglah ada orang yang mengemaskan tapi tidak salah kita buat kerja itu. Pastikan masa yang diambil mengikut masa yang ditentukan. Sama-sama kita mengingatkan kawan-kawan yang lain.
Kita hendaklah memastikan dapat mengikuti kursus dan tidak tertinggal walaupun satu siri. Pengorbanan untuk perkara lain hendaklah dilakukan. Pengorbanan ini adalah kecil jika dibandingkan perkara yang akan dilalui di Tanah Suci. Kursus ini bukan saja untuk menimba Ilmu tapi juga dapat melatih diri dan jika ada kekurangan boleh diambil tindakan penambahbaikan. Apabila kita telah melalui sedikit kesulitan semasa menjalani kursus maka Insya Allah kita akan dapat menyesuaikan diri semasa berada di Tanah Suci.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes