Sunday, November 13, 2011

Kualiti ibadat ditunjukkan jadi ukuran kedudukan haji seseorang

Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh
2011/11/12
JEMAAH haji beribadat di khemah di Arafah.
SYARIAT Nabi Ibrahim dalam ibadah haji adalah untuk merealisasikan kalimah tauhid dan takzim yang diucapkan ketika solat iaitu, “Sesungguhnya solatku, ibadatku serta seluruh kehidupanku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam.”

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ingatlah ketika Kami tempatkan Ibrahim di Baitullah seraya menyeru, janganlah kamu menyengutukan Aku dengan apa juga sekalipun.” (Surah Al-Haj, ayat 26)
Semua sifat syirik, sikap melebihkan makhluk daripada pencipta dan menjauhi sifat dusta adalah antara matlamat ibadah haji.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka selepas kamu mengagungkan Allah dalam haji, jauhilah bentuk syirik dan penyembahan selain Allah dan janganlah kamu berdusta.” (Surah Al-Haj, ayat 30)

Begitu juga ibadah korban yang menyuburkan sifat takwa dalam jiwa hamba sesuai dengan kalimah suci yang menyebut: “Darah serta daging yang dikorbankan tidak akan sampai kepada Allah SWT tetapi yang sampai hanyalah takwa.” (Surah Al-Haj, ayat 37)

Di sinilah berdirinya Baginda Nabi SAW iaitu di bumi Arafah sambil menyeru: “Wahai kaum Muslimin, sesungguhnya darah, kehormatan dan harta antara kamu adalah haram untuk dicemarkan seperti hari ini, di tempat ini dan bulan yang mulia ini.”

Ucapan yang keras ini diikuti dengan sabdanya: “Janganlah kamu kembali selepasku menjadi umat yang ingkar dan kufur lantaran berbunuhan antara satu sama lain.”
Di sini juga Rasul SAW menyuntik semangat untuk membangunkan ekonomi umat yang semakin menguncup dewasa ini. Mereka menerima ideologi dan fahaman kapitalis yang bermatlamatkan untung semata-mata.

Baginda SAW memberi nasihat dengan sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya riba jahiliah itu adalah rekaan dan sia-sia semata-mata.”

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan keuntungan berganda.” (Surah Al-Imran, ayat 130)

Haji juga mendidik supaya umat sentiasa berdoa dan meletakkan pengharapan hanya kepada Allah SWT: Firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya masjid itu adalah rumah Allah, maka janganlah kamu menyembah dan berdoa selain Allah SWT.” (Surah Al-Jin, ayat 18)

Haji mengajar erti perjuangan bagi mencapai matlamat hidup kerana ada kesusahan dan rintangan yang perlu ditempuh untuk menyelesaikan ibadat ini. Kesabaran dan ketenangan menjadi peneraju kepada haji yang mabrur dan mendapat ganjaran tertinggi di dunia serta akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan haji hendaklah menjaga kelakuan dan kata-kata mereka.” (Surah Al-Baqarah, ayat 197)

Kesempurnaan ibadat haji bergantung kepada perbuatan serta panduan yang ditunjukkan Baginda SAW. Oleh itu, ia mestilah dilakukan sehingga sempurna syarat dan rukun supaya kita kembali mendapat keampunan dari Allah SWT.

Sifat sabar yang dipelajari ketika haji akan mengukuhkan lagi ibadat dilakukan sehingga Allah mengkategorikan mereka sebagai insan yang telah sampai kepada peringkat ketakwaan sebenarnya seterusnya digandakan pahala kepada mereka.

Begitulah pelajaran diperoleh dalam ibadat haji dan kesinambungan sifat ini mesti wujud selepas kembali dari menunaikan ibadat haji. Bukan gelaran haji atau kebanggaan lain menjadi matlamat utama, tetapi keredaan dan kualiti ibadat ditunjukkan menjadi ukuran kedudukan haji seseorang.

Diriwayatkan oleh ‘Aisyah: “Wahai Rasulullah, kami melihat jihad adalah seafdal-afdal amalan. Adakah kami perlu berjihad? Sabda Baginda: Tidak, akan tetapi seafdal-afdal jihad ialah haji yang diterima (mabrur).”

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP)

Friday, November 11, 2011

Kumpulan pertama jemaah haji pulang esok

MAKKAH: Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah jam 7.25 pagi Sabtu (12.25 tengah hari waktu Malaysia) dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.25 malam waktu Malaysia.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman, berkata sementara itu jemaah haji dari kumpulan pertama ke Madinah dari sini pula akan berlepas pada 16 November ini dan kumpulan pertama dari Madinah yang akan kembali ke tanah air ialah pada 27 November.
Beliau berkata, 33 peratus daripada jemaah haji Malaysia akan kembali ke tanah air menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad di Madinah, manakala selebihnya menerusi Jeddah.
"Penerbangan terakhir dari tanah suci ialah pada 10 Disember ini dan ia tiba di tanah air pada keesokkan harinya," katanya kepada kumpulan media Tabung Haji, di sini.

Sementara itu, merujuk kepada operasi pengurusan jemaah haji Malaysia kali ini, Syed Salleh berkata beliau besyukur kerana segala yang dirancang berjalan dengan lancar.

Menurutnya, sedikit kelewatan memang sudah dijangkakan, namun secara keseluruhan pergerakan jemaah berjalan dengan baik tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Beliau berkata, satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah daripada segi jumlah pesakit dan jumlah kematian di kalangan jemaah haji tahun ini yang dilihat semakin berkurangan berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, ia mungkin berpunca daripada faktor kesedaran jemaah haji mengenai kepentingan untuk menjaga kesihatan sepanjang tempoh berada di tanah suci dan mungkin juga disebabkan aspek persekitaran yang semakin bertambah baik.

Daripada segi perkhidmatan, Syed Salleh berkata beliau melihat pelaksanaan program Sahabat Tabung Haji, Sahabat Ibadah Tabung Haji serta program Jemaah Haji Warga Emas yang dibantu secara seorang ke seorang, cukup berkesan dalam membantu jemaah haji.

Menurutnya, program yang melalui penambahbaikan dari semasa ke semasa itu sudah pasti akan dapat memantapkan lagi usaha Tabung Haji dalam memberi bantuan yang lebih baik kepada jemaah haji Malaysia.

Pada masa sama, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada pihak media yang turut bertungkus lumus menyampaikan berita dan maklumat mengenai perjalanan ibadah haji di tanah suci tanpa mengira masa. - BERNAMA 11/11/2011

Wednesday, November 9, 2011

KEMASKINI MAKLUMAT PERIBADI BAKAL HAJI

Mereka yang telah mendaftar haji dengan Tabung Haji hendaklah sentiasa mengemaskini maklumat peribadi. Maklumat yang selalu berubah adalah alamat surat menyurat, no telefon, alamat e-mail.
Pengalaman setiap tahun ramai bakal haji yang tidak dapat dihubungi kerana alamat telah bertukar atau tidak lengkap,tiada nombor telefon atau telah tukar nombor dan tiada alamat email apabila mereka terpilih menunaikan haji. Kemungkinan bakal haji ada yang terlibat, menunggu tanpa berita. Ada juga mereka terlupa samada telah mendaftar haji atau tidak.
Apabila berurusan dengan Tabung Haji berkaitan simpanan atau pengeluaran harap disemak maklumat peribadi samada maklumat yang ada dalam rekod Tabung Haji adalah betul dan terkini.
Peraturan untuk membuat pembetulan maklumat peribadi, bakal haji perlu melengkapkan borang yang disediakan dan serahkan sendiri oleh bakal haji di kaunter Tabung Haji. Pertukaran maklumat tidak dibenarkan melalui telefon.
Bakal haji seeloknya membuat semakan setahun sekali kedudukan giliran haji walaupun gilirannya lama lagi. Tindakan ini dapat membantu bakal haji untuk membuat persediaan samada kursus, kewangan, kesihatan dan perancangan cuti.
Bakal haji yang mempunyai talian internet , boleh membuat semakan melalui email : phptdwil@lth.gov.my. Sila maklumkan nama dan no IC bagi tujuan semakan. Sila nyata alamat surat menyurat, no tel untuk pengesahan samada dalam rekod TH adalah seperti yang dinyatakan. Jika tidak sila datang ke Kaunter TH untuk membuat pembetulan atau pertukaran.

Saturday, November 5, 2011

10 Zulhijjah miliki banyak kelebihan, pahala digandakan



Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh
bhnews@bharian.com.my

ALLAH SWT menebarkan rahmat ke atas umatnya dengan menggalakkan mereka melakukan banyak amal ibadat untuk mendekatkan diri dengan-Nya. Di samping itu, disediakan kelebihan tersendiri pada semua ibadat.

Ibadat haji adalah ibadat jasmani dalam jangka panjang bagi menzahirkan keesaan Allah SWT. Ini dapat dilihat melalui lafaz talbiah yang diucapkan jemaah haji yang memfokuskan kepada tauhid ubudiyyah kepada Allah SWT.
Bagi mereka yang melakukan haji penuh keikhlasan dan dapat mendisiplinkan diri dengan tuntutan serta larangan akan dikurniakan ganjaran besar di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan haji serta mematuhi larangannya iaitu tidak melakukan perkara keji, tidak bercakap kotor serta tidak melakukan penyelewengan, maka dia akan kembali ke tanah air dengan bersih dan suci umpama kanak-kanak yang baru dilahirkan.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Jemaah haji berkumpul di tempat mulia di sisi Allah SWT pada hari Arafah, hari paling banyak dibebaskan ahli neraka seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Tiada hari yang paling banyak dibebaskan umat daripada api neraka melainkan pada hari Arafah. Mereka akan mendapat penghormatan daripada sekalian malaikat.” (Hadis riwayat Muslim)

Di tempat yang paling suci inilah jemaah haji bermunajat kepada Allah SWT. Tempat suci inilah yang menjadi asas dibina oleh Nabi Ibrahim AS dengan binaan spiritual yang kukuh berteraskan keikhlasan dan ketakwaan.

Oleh itu, Allah SWT abadikan kenangan itu hingga hari kiamat bagi menunjukkan bahawa amalan yang berkualiti di sisi Allah SWT adalah amalan yang hanya dilakukan semata-mata kerana menuntut keredaan Allah SWT.
Dengan mengenakan pakaian ihram yang sederhana, tiada sebarang wangian, maka jelaslah nafsu manusia yang menginginkan kemewahan dan kenikmatan tidak mendapat tempat di sisi Allah SWT khususnya dalam melakukan ibadat kepada-Nya.

Hajarul Aswad yang dikucup sudah pasti menggugurkan banyak noda dan dosa sehingga menjadi hitam pekat kerana menanggung dosa. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dalam keadaan putih bersih dan akhirnya menjadi hitam dengan dosa anak Adam.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Seterusnya jemaah melontar tiga Jamrah bagi menzahirkan perseteruan kuat antara iblis dan umat manusia. Iblis tidak pernah berputus asa melakukan penyesatan terhadap mereka sehingga Nabi Ibrahim terpaksa menghadapi tiga gangguan dalam usaha Baginda melakukan ibadat kepada Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu. Maka jadikanlah ia sebagai musuh kerana ia mengajak manusia menjadi penghuni neraka.” (Surah Fatir, ayat 6)

Jemaah tidak pernah dilupakan sehingga dijadikan malam mereka sebagai ibadat, ketika mabit di Muzdalifah sebahagian daripada malam serta ditambah dengan mengorbankan kekuatan anggota badan pada tawaf dan sai’. Lidah mereka basah dengan talbiah mengesakan Allah SWT.

Kehadiran 10 Zulhijjah pada setiap tahun juga akan digandakan pahala ganjaran kerana ia satu hari besar di sisi Allah SWT.

Daripada Ibnu Abbas RA, Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada hari yang lebih baik di sisi Allah SWT daripada 10 Zulhijjah.”

Antara kelebihan 10 Zulhijjah yang disebut Imam Ghazali dalam Mukasyafatul Qulub ialah firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami berikan masa kepada Nabi Musa selama 30 malam untuk bermunajat dan ditambahkan lagi 10 menjadi 40 malam.” (Surah Al-A’raf, ayat 142). Itulah hari-hari awal bulan Zulhijjah.

Pada 10 Zulhijjah, Allah SWT menyeru: “Wahai Malaikat, lihatlah kepada hambaku yang datang ke sini dalam keadaan kusut dan tidak terurus, mereka membelanjakan harta dan mengerah keringat yang banyak. Oleh itu saksikanlah bahawa Aku telah mengampunkan mereka.”

Doa mereka dimakbulkan oleh Allah SWT seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang berdoa pada 10 Zulhijjah sama ada duniawi atau ukhrawi akan dimakbulkan Allah SWT. (Mukasyafatul Qulub).

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd

Lambaian Kaabah: 28,000 jemaah menuju Arafah

Tabung Haji sedia 700 bas bergerak secara berperingkat mulai jam 3 petang

MAKKAH: Seramai 28,000 jemaah haji Malaysia adalah antara kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia yang mula bergerak menuju ke Arafah kira-kira 20 kilometer dari sini, semalam, untuk berwukuf hari ini.
Pengurus Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Mohamad Naser Jaffar, berkata Tabung Haji menyediakan 700 bas bagi membawa jemaah haji Malaysia secara berperingkat mulai jam 3 petang (8 malam waktu Malaysia), selepas solat Jumaat.
“Perjalanan dari kota Makkah ke Arafah dijangka mengambil masa sejam setengah dan kumpulan terakhir dijangka tiba sebelum subuh hari ini,” katanya di sini, semalam.

Katanya, petugas Tabung Haji digerakkan seawal jam 7.30 pagi (12.30 tengah hari waktu Malaysia) bagi memastikan segala persediaan awal untuk menerima ketibaan jemaah haji Malaysia dapat disempurnakan.

Semua kemudahan dan keperluan asas jemaah seperti khemah, makan minum, peralatan lain serta kemudahan tandas, juga dalam keadaan yang baik.

Sementara itu, tinjauan mendapati suasana jalan-jalan di sekitar kota Makkah sudah mulai sesak dengan bas-bas besar bergerak menuju ke Arafah.
Selain itu, akhbar harian berbahasa Inggeris di sini, memetik beberapa tokoh ulama terkenal termasuk Mufti Besar Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh meminta semua umat Islam termasuk jemaah untuk mengelak daripada menunaikan kelima-lima solat fardu di Masjidil Haram di Makkah bagi mengurangkan kesesakan di dalam masjid.

“Keseluruhan Makkah dianggap sebagai kawasan Tanah Haram (tempat suci) dan pahala bersembahyang di mana-mana masjid di Makkah adalah sama dengan bersolat di Masjidil Haram,” kata Sheikh Abdul Aziz yang dipetik akhbar harian Okaz.

Beliau juga tidak menggalakkan jemaah melakukan umrah berulang kali yang disifatkannya boleh menimbulkan kesesakan teruk dan membahayakan jemaah.

Bagaimanapun, Sheikh Yousuf Al-Qaradawi, Presiden Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa menjelaskan bahawa al-Quran menyatakan Masjidil Haram merujuk kepada kawasan Kaabah. – BERNAMA 5/11/2011

Thursday, November 3, 2011

Perkhidmatan monorel Arafah-Mina siap

MAKKAH: Sistem monorel Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (Makkah Metro) kini siap sepenuhnya bagi membawa jemaah haji antara Arafah dan Mina.

Penolong Pengurus Stesen Arafah 1, Yuszaini Mohd Yusop, berkata pada musim haji tahun lalu, perkhidmatan itu beroperasi hanya 35 peratus.
"Perkhidmatan tren ini adalah bagi mengatasi kesesakan jalan raya yang sering berlaku pada setiap musim haji terutama ketika jemaah bergerak menuju ke Padang Arafah untuk melakukan wukuf," katanya di sini.
Wukuf iaitu satu daripada rukun haji yang mesti dipenuhi oleh setiap anggota jemaah, pada tahun ini ialah pada 5 November bersamaan 9 Zulhijjah.

Jemaah dengan berpakaian ihram akan bergerak dari Makkah menuju ke Padang Arafah pada 4 November dan bermalam di sana.

Yuszaini adalah seorang daripada 146 kakitangan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang dipinjamkan bertugas dengan Makkah Metro.

Sistem monorel itu mempunyai sembilan stesen melibatkan tiga lokasi utama iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina (setiap tempat mempunyai tiga stesen), dengan jarak 20 kilometer.
Yuszaini berkata, monorel sepanjang 300 meter mempunyai 12 gerabak dengan 60 pintu, mampu membawa antara 3,500 dan 4,000 penumpang setiap perjalanan.

Monorel dengan kelajuan 80 kilometer sejam dilengkapi pendingin hawa, peralatan keselamatan dan kecemasan serta pemantauan kamera litar tertutup.

Beliau berkata, kepakaran yang dimiliki kakitangan KTMB dalam mengendalikan sistem pengangkutan serupa di Malaysia mendapat kepercayaan pihak berkuasa Arab Saudi untuk mengendalikan perkhidmatan Makkah Metro.

Kumpulan wartawan dari negara Islam turut dibawa meninjau persiapan untuk menerima jemaah haji dari seluruh dunia di Padang Arafah.

Khemah sudah didirikan untuk menempatkan jemaah mengikut benua dan negara.
- BERNAMA 31/10/2011

Tuesday, November 1, 2011

Balasan baik tuntut pengorbanan

Oleh Ashraf Muslimbhnews@bharian.com.my 31/10/2011
Reda, ikhlas hadapi masalah bantu kehidupan positif KESEDIAAN Nabi Ismail merelakan dirinya disembelih bapa tersayang, Nabi Ibrahim, kerana memenuhi suruhan Allah menimbulkan persoalan sejauh mana kitabersediamengorbankan sesuatu yang kita sayang, tambahan dalam dunia material kini.
Namun, fakta sejarah yang terus diingatkan setiap kali menjelang Aidiladha itu sebenarnya memberi seribu satu makna kepada sesiapa berdepan situasi terpaksa melepaskan apa yang disukai biar dengan apa niat atau matlamatnya.

Apa yang jelas, jika pengorbanan itu dilakukan secara ikhlas, dengan izin Allah, ganjaran menanti lebih baik dan selalunya kita tidak menyangka habuan diterima kerana nikmatnya memang tidak terduga. Seperti Nabi Ismail sendiri, kerana reda dengan ketentuan ditetapkan Allah, akhirnya baginda ditukarkan dengan seekor qibas tetapi semangat korban ditunjukkan terus menjadi ikutan hingga ke hari ini di mana ramai antara kita rela berkorban apa saja kerana agama, bangsa serta negara. Begitu juga dengan perjalanan haji jutaan umat Islam seluruh dunia yang kini berkumpul di Tanah Suci meninggalkan negara, ahli keluarga serta kerjaya demi mendekatkan diri kepada Allah dan mencari keredaan-Nya. Apa saja dilakukan semata-mata memastikan jemputan menjadi tetamu Allah tidak sia-sia. Semoga mereka mendapat haji mabrur. Bagaimanapun, apa yang mendukacitakan, persepsi pengorbanan tidak dikembangkan sebaiknya. Sesiapa saja boleh mendermakan wang tetapi tidak ramai bersedia mengorbankan masa, tenaga apatah lagi bersedekah senyuman walaupun itulah sedekah paling mudah dilakukan. Jika kita bersedia mengorbankan masa, pasti tidak banyak laporan mendedahkan kepincangan masyarakat di dada media massa. Anak membiarkan ibu bapa keseorangan. Kesibukan memenuhi perkara lain menyebabkan kita lupa mengorbankan sedikit masa menjenguk ibu bapa. Berapa ramai bersedia mengorbankan tenaga mengikuti aktiviti kejiranan, kerja amal serta kemasyarakatan seperti bergotong-royong membersihkan kawasan perumahan atau membantu jiran mengadakan kenduri kendara. Semua ini nampak mudah tetapi sebenarnya sukar dilakukan. Kita hanya akan tersenyum kepada orang yang kita suka dan kenal, sedangkan tidak rugi memberikan senyuman kepada semua makhluk Allah di dunia ini. Selalunya mereka yang murah senyuman mempunyai ramai kawan kerana sikapnya disenangi. Ramai kawan adalah ganjaran daripada sikap suka tersenyum. Nampak tidak penting tetapi kawan boleh menjadi penyebab kepada hidup yang gembira. Sebenarnya hidup akan lebih mudah jika kita melihat sesuatu secara positif. Jangan terlalu mengharapkan orang melakukan sesuatu untuk kita kerana tidak salah, malah lebih baik jika kita yang memulakan perkara memberi kebaikan bukan saja pada diri sendiri juga orang lain. Saya sendiri melalui pengalaman menakjubkan. Hakikatnya, bukan sebesar mana pengorbanan yang dilakukan tetapi Alhamdulillah, balasan diterima mengingatkan saya supaya tidak jemu untuk memberi. Bukan bermakna semua dilakukan mengharapkan ganjaran tetapi Allah Maha Pemurah kepada hamba-Nya. Masa diluangkan membantu masyarakat diberi kelebihan pada perkara lain. Syaratnya kita perlu yakin setiap perkara baik akan dibalas baik dan yang penting ia dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah. Balasan diterima tidak semestinya ketika hayat kerana mungkin ganjaran menanti di akhirat atau yang mendapat manfaat adalah anak cucu kita nanti. Sempena Aidiladha yang bakal dirayakan Ahad ini, marilah bersama kita hulurkan tangan membantu golongan memerlukan mengikut kemampuan kita. Bagi yang ada rezeki lebih boleh menyembelih haiwan ternakan untuk disedekahkan, bagi yang tidak berkemampuan pula boleh berganding bahu membantu melapah daging untuk diagihkan. Kita semua boleh memainkan peranan masing-masing mengikut kadar kemampuan. Semoga pengorbanan tulus ikhlas itu diterima Allah. Selamat meraikan Hari Raya Korban.
(Ayat merawat demam atau selesema (menguatkan antibodi lemah), bacalah Surah Al-Anfal, ayat 36-50 dan Surah An-Nahl, ayat 51-64. Amalkan tiga kali sehari atau lebih dan berdoa kepada Allah semoga diberi penyembuhan).

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes