Saturday, April 2, 2011

TAWAF UMRAH

Sebelum melakukan Tawaf pastikan telah mengambil wuduk, anggota dan kain Ihram, suci daripada najis. Jika terkena najis basuhlah pada kain atau anggota yang terkena najis. Biasanya pakaian atau anggota terkena najis burung merpati semasa menunggu di luar hotel atau semasa berjalan ke Masjidil Haram. Kebiasaannya bakal umrah akan berkumpul di lobi hotel untuk diberi taklimat kemudian bergerak dalam kumpulan.Semasa bergerak bakal umrah hendaklah bertalbiah (sunat) dengan bersemangat dan penuh keinsafan. Bakal Umrah semasa berjalan lihat kiri-kanan jalan menuju ke masjid bagi mengenali jalan balik ke hotel. Jika ada telefon yang boleh mengambil gambar, ambillah gambar bangunan yang boleh dijadi tanda tunjuk untuk ke hotel. Bakal Umrah wanita apabila berhadapan dengan jalan berdebu atau busuk boleh menutup hidung (muka) dengan tangan tidak boleh dengan kain. Bagi wanita yang tidak boleh terkena habuk, jika terkena boleh memudaratkan diri seperti lelah maka boleh pakai “mask” tapi dikenakan dam dan tidak berdosa.


Apabila berada di dataran masjid terdapat kumpulan burung merpati sedang makan, jangan dikejutkan atau menyebabkan burung merpati terkejut, dikuatiri apabila burung merpati terbang dan mengakibatkan bulunya gugur. Pengertian larangan memburu atau membinasakan binatang yang halal dimakan dengan cara membunuh, memukul, menjerat atau menangkap atau dengan apa cara yang menyakiti binatang itu, malah memeranjatkan atau mengejutkan binatang itu. Apabila ingin memasuki masjid, berdoa. Selipar dimasukan dalam karung atau plastik, dan dibawa bersama ke dalam masjid. Apabila melihat atau ternampak kaabah berdoa. Kemudian bergerak menuju ruang solat yang memudahkan bakal umrah menuju kearah tengah antara Rukun Yamani dan Rukun Hajar Aswad. Carilah rak atau bekas tempat letak karung atau plastik selipar dan tinggalkannya di situ. Ingat! Jangan diletakan di lantai kerana dikuatiri akan di alihkan oleh pekerja yang membersihkan masjid di tempat lain. Ingatkan Nombor tempat kasut atau nombor tiang masjid tempat letak kasut. Sekali lagi gunakan telefon yang boleh mengambil gambar, ambil gambar no. tempat kasut. Telefon yang boleh ambil gambar biasanya tidak dibenarkan dibawa ke dalam masjid kepada jemaah wanita. Sebabnya tidak diketahui.


Bersiaplah untuk ke dataran tawaf bagi tujuan tawaf. Lelaki boleh bersiap sedia berittibak. Mulakan tawaf di Rukun Hajar Aswad, jika terlalu jauh dari Kaabah, lihat lampu hijau di binaan masjid sebagai panduan untuk memulakan tawaf. Semasa hendak mula tawaf Umrah disunatkan berniat, jika tidak berniat sah tawaf Umrah. Lakukan tawaf mengikut syarat-syarat yang ditentukan berserta dengan perkara-perkara sunat semasa tawaf. Apabila telah diyakini selesai 7 kali pusingan maka tamatkan dengan bergerak melebihi atau melepasi dari Rukun Hajar Aswad. Jangan berpusing ke belakang untuk keluar dari kumpulan manusia yang sedang tawaf tapi bergerak mengikut arus tawaf.Kemudian solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim, jika tiada ruang solatlah dimana-mana kawasan.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes