Sunday, October 24, 2010

BEG JEMAAH HAJI

Bakal haji hendaklah membawa sebuah beg pakaian seorang. Jika bakal haji pergi suami dan isteri, masing-masing hendaklah membawa beg yang berasingan kerana tempat penginapan akan diasingkan mengikut bilik lelaki atau perempuan.
Beg yang dicadangkan berbentuk empat segi. Bentuk tersebut dapat memudahkan beg disusun dalam perut kapalterbang dan bas. Contoh ukuran beg ialah tinggi 68 cm, lebar 46 cm dan sisi 24 cm. Muatan maksimum tidak melebihi 30 kg bagi memgelakan beg tersebut rosak. Jika melebihi 30 kg kemungkinan tangkai, roda dan penarik beg akan tercabut semasa pekerja mengangkat beg kerana terlalu berat. Beg bakal haji hendaklah bermaklumat seperti Nama, Alamat dan No Tel di Malaysia Nombor KT. Maklumat tersebut dapat membantu petugas TH menyerahkan beg tersebut jika dijumpai. Contoh maklumat yang boleh dilakukan dengan membuat tag beg yang dicatatkan maklumat yang diperlukan seperti pada gambar di atas. Stiker bilik di Mekah dan Madinah boleh ditampal pada belakang teg beg tersebut bagi memudahkan petugas mendapat maklumat bilik untuk dihantar beg tersebut ke bilik penginapan bakal haji.

Wednesday, October 20, 2010

MENUNAI FARDU HAJI

Alhamdullilah saya dan isteri akan menunaikan Fardu Haji pada tahun ini. Kami akan melapor diri di Kelana Jaya jam 1.30 pagi 26 Oktober 2010 dan menaiki KT57. Pergerakan dari rumah akan saya lakukan jam 10.30 malam 25 Oktober 2010 bagi memastikan kami sampai 2 jam awal dari waktu lapor diri.
21 Oktober 2010 saya mula bercuti. Saya memohon maaf kepada semua yang melayari blog saya. Saya mengharapkan doa semua agar kami dapat melaksanakan haji dengan sempurna. Insya Allah kembali ke Tanah Air pada 8 Disember 2010 dengan mendapat Haji Mabrur.
Di sini saya ingin menjelaskan catatan PENGEMBARAAN INTELEK adalah catatan pengalaman saya yang saya lalui semasa berada di Tanah Suci pada musim haji yang lalu. Saya mengajak pembaca dan merasai pengalaman tersebut mudahan-mudahan bakal haji dapat pengalaman yang lebih baik dan manis untuk mempertingkatkan keimanan kepada Allah s.w.t. Penjelasan saya nyatakan kerana ada yang menyangka saya telah berada di Tanah Suci semasa saya menyiarkan catatan tersebut.

Tuesday, October 19, 2010

PENGEMBARAAN INTELEK BAB 8

Pada hari ketiga di Madinah, selepas solat subuh saya berkumpul untuk menaiki bas bagi ziarah luar iaitu melawat Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Bukit Uhud, Masjid Tujuh dan akhirnya ke kebun kumra dan Pasar kurma.
Masjid Quba sering dikunjungi oleh Rasullah s.a.w, kadang-kadang dengan menaiki binatang tunggangan dan kadang-kadang berjalan kaki. Kelebihan masjid ini ialah Barangsiapa berwuduk di rumah kediamannya kemudian pergi ke Masjid Quba lalu mengerjakan silat sunat dua rakaat, maka pahalanya adalah seperti pahala orang mengerja Umrah (Diriwayat oleh Ibnu Majah dan Tarmizi) Ya Allah engkau berilah daku kefahaman peranan masjid iaitu membentuk ketakwaan kepada mu.
Masjid Qiblatain ialah Masjid dua kiblat dimana Diriwayatkan Al-Baidhawi dan Yahya, perintah pertukaran kiblat ini turun ketika Rasullah s.a.w bersama beberapa sahabat sedang solat zuhur. Dalam rakaat kedua maka turunlah wahyu Allah s.w.t agar banginda mengubah kiblat ke arah Baitullah di Makkah. Ya Allah engkau jadi menjadi daku hamba mu patuh segala arahan mu.
Bukit Uhud telah berlakunya peperangan yang sengit dan menyebabkan 70 orang tentera Islam telah gugur syahid. Kesemuanya disemadikan berhampiran dengan bukit tersebut. Ya Allah engkau jadilah daku bersungguh mempelajari dan menyampaikan ajaran mu walaupun pelbagai rintangan dan halangan.
Masjid Tujuh dikawasan ini Rasullah dan sahabat mengali parit sepanjang 3km dan lebar 6 meter dan dalam tinggi seorang yang berdiri dengan kedua-dua tanggan diangkat lurus ke atas. Sekarang parit tiada lagi dan Masjid hanya tinggal 5 buah sahaja. Ya Allah jadikan daku hamba mu yang bergerak dalam jemaah bagi segala tindakan mentaati mu.

Sunday, October 17, 2010

PENGEMBARAAN INTELEK BAB 7

Sesampai sahaja masuk Kota Madinah Al Munawarah, saya melihat bangunan-bangunan moden. Maka terfikir semasa Nabi Muhammad s.a.w berhijrah. Pada 8 Rabi’ulawal tahun 1 Hijrah baginda sampai di Quba iaitu kira-kira 10 kilometer jauhnya dari Yatsrib. Nabi berehat 4 hari kemudian mendirikan Masjid, iaitu Masjid Quba yang pertama didirikan dalam sejarah Islam. Pada 12 Rabi’ulawal tahun 1 Hijrah Nabi memasuki Kota Yatsrib. Sejak kemasukan Nabi kota ini, nama Yatsrib berubah nama menjadi Madinatul Nabi ( Kota Nabi) Maka Nabi mengaturkan Sistem Pemerintahan dan ujudlah Piagam Madinah. Di Madinah terlaksananya perundangan Islam dalam segala sudut kehidupan. Ya Allah engkau jadikan lah daku hambamu yang tidak mempertikaikan Undang-undang mu. Amin…………
Kemudian saya sampai ke Hotel tempat penginapan. Di Madinah saya akan berada selama 8 hari, Insya Allah dapatlah saya solat fardu sebanyak 40 waktu. Ya Allah dengan terlaksananya daku solat 40 waktu di Masjid Nabi mu, engkau jauhlah sifat munafik dalam diriku dan jadikan daku cinta untuk solat berjemaah setelah kembali ke Tanah Air.
Selepas solat subuh di Masjid Nabi pada hari kedua, saya kembali ke hotel untuk berkumpul bagi dibawa melawat disekitar Masjid Nabi iaitu menziarahi Makam Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat dan keluarga baginda dengan memberi salam . Maka terasa pada diri ku seolah-olah Nabi masih hidup dan terasa sangat rindu kepada beliau. Hatiku sungguh sayu dan hiba. Selama ini saya hanya mengetahui ajaran Nabi melalui pembelajaran, pembacaan, ceramah dan lain. Hanya Ilmu Yakin tapi sekarang secara Ainun Yakin iaitu saya dapat melihat keujudan Nabi walaupun dengan melihat makamnya. Ya Allah engkau jadikan daku hambamu yang sanggup mempertahankan dan menyampaikan ajaran Nabi Muhammad s.a.w.

Wednesday, October 13, 2010

PENGEMBARAAN INTELEK BAB 6

Perjalanan menaiki bas dari Jedah ke Madinah. Saya telah ditentukan menaiki bas no. 3 dan beg, saya letakan di kawasan bas no. 3. Saya memerhatikan pekerja mengangkat beg masuk dalam perut bas dan ada diangkat di atas bumbung bas. Saya merasa puashati kerana beg saya telah diangkat oleh pekerja dan diletak di atas bumbung bas. Petugas TH membuat panggilan dengan pembesar suara meminta bakal haji menaiki bas. Saya mengikut arahan tersebut dan mengambil tempat duduk yang kosong. Pemandu menuju ke arah tempat duduk pemandu sambil membawa karung berisi pasport penumpang.
Alhamdulillah bas mula bergerak. Semasa dalam perjalanan saya melihat melalui tingkap bas, saya melihat padang pasir dan di sana sini terdapat tompokan-tompokan tumbuhan. Kemudian dilihat beberapa kawan unta sedang berjalan membelahi padang pasir. Kadang-kadang terdapat angin berserta pasir berterbangan melintasi jalan yang dilalui oleh bas yang saya naiki. Terdapat dikiri kanan jalan yang dilalui tersergam gagah bukit-bukit batu.
Saya teringat kisah penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w bagaimana susah dan peritnya beliau. Nabi hanya kadang-kadang menaiki unta dan kadang-kadang berjalan. Perjalanannya melalui padang pasir dan mehadapi angin pasir, panas terik dengan kehausan. Ini lah kesungguhan Nabi mematuhi arahan Allah s.w.t supaya berhijrah ke Madinah. Timbul keinsafan dalam diri saya.
Saya merasakan apa yang saya lalui tidaklah berat dan susah, malahan hanya duduk dalam bas yang berhawa dingin. Ya Allah saya sangat bersukur atas nikmat mu. Ya Allah berilah kekuatan dan kesabaran bagi mematuhi perintah mu dan meninggalkan larangan mu. Amin………….

Tuesday, October 12, 2010

PENGEMBARAAN INTELEK BAB 5

Hari melapor diri di Kompleks Tabung Haji sudah tiba. Waktu melapor diri dirujuk kepada Jadual Penerbangan yang diperolehi dari TH. Saya perlu merancang supaya saya sampai di Kompleks Haji 2 jam sebelum waktu melapor diri. Waktu perjalanan juga diambil kira, seperti jalan sesak dan apa-apa kemungkinan.
Saya dapat maklumat melalui Kursus, apabila sahaja saya sampai di Kompleks Haji saya hendaklah mendaftar di kaunter pendaftaran dan meletakkan beg pakaian di tempat yang disediakan. Setelah itu saya menuju ke khemah yang disediakan untuk berehat dan menunggu untuk melapor diri. Saya akan memberi perhatian jika ada pengemuman yang diudarakan. Pengemuman supaya mengambil Stiker, Lencana dan beg selendang. Saya memastikan telah memakai gelang pengenalan haji, lencana dan buku rekod rawatan disimpan dalam beg selendang. Kemudian saya berehat bersama keluarga di khemah yang disediakan. Dibawah khemah terlalui ramai orang, ada yang sedang makan dengan anak beranak atau keluarga.
Sampai masa untuk lapor diri, saya melalui proses penerimaan Pasport Malaysia Antarabangsa, tiket dan Boarding Pass. Menbawa beg untuk X-Ray dan timbang barang dan mendapat tag barang jika menaiki Penerbangan Mas dan Penerbangan Saudia akan diterima secara berkumpulan. Tujuan tag ini adalah bagi tujuan untuk menuntut beg jika beg hilang. Seterusnya melalui pemeriksaan badan.
Seterusnya saya akan memasuki dewan berlepas dan mendengar taklimat TH. Antara kandungan taklimat ialah memperingkan bakal haji supaya memakai gelang pengenalan haji, lencana, menulis nama pada beg selendang, memeriksa buku rekod rawatan samada lengkap dengan gambar dan mendapat suntikan Meningococcal Quadrivalent Vaccine ACYW 135. Sambil menunggu untuk menaiki bas ke KLIA saya lihat ada perkhidmatan Kaunter BIMB untuk menukar duit Arab, kaunter TH untuk simpanan saat akhir supaya tidak membawa wang tunai yang banyak dan ada kantin untuk makan dan minum.
Alhamdullilah perkara yang dilalui telah saya maklumi terlebih awal dan tiada masalah yang saya hadapi.

Tuesday, October 5, 2010

PERSIAPAN DIRI MENJADI TETAMU ALLAH

Alhamdulillah bakal haji akan menjadi tetamu Allah s.w.t . Apabila disebut tetamu Allah s.w.t ini bermakna kita adalah hamba iaitu hamba Allah s.w.t. Kalau hamba kita tidak boleh menentukan syarat atau meminta sesuka hati kita kepada tuannya. Apa yang diberi, hamba akan menerima sahaja dengan taat. Jika tidak diberi apa-apa, hamba tidak boleh marah atau meninggikan suara mendesak meminta.
Hamba tidak mempunyai apa-apa pangkat, kehormatan, gelaran atau hak istemewa. Hamba adalah hamba. Apabila bakal haji telah memenuhi syarat sebagai hamba kepada Allah s.w.t barulah Allah s.w.t memandangnya dengan kasih sayang dan peliharaannya. Hamba akan merasa gembira apabila tuannya memanggil supaya berada dekatnya, bercakap-cakap dengannya. Hamba gembira jika air yang dituangkan dalam gelas diminum oleh tuannya. Hamba sangat sukacita apabila semua kerjanya tidak menimbulkan kemarahan tuannya.
Apabila bakal haji telah berniat Haji atau Umrah maka mulut akan menyebut talbiah.
"Hambumu datang menyahut panggilanmu Ya Allah
Hambamu datang menyahut panggilanmu
Hambamu datang menyahut panggilanmu
Tuhan yang tiada ada sekutu bagimu
Hambamu datang menyahut panggilanmu
Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah milikmu
Tiada sekutu bagimu"
(gambar di atas semasa di Arafah pada tahun 2007 bersama kawan-kawan)




Monday, October 4, 2010

PAKAIAN IHRAM LELAKI

Dalam pemerhatian saya semasa amali haji pada Kursus Haji Intensif dan Kursus Haji Perdana saya dapati ada bakal haji lelaki yang memakai kain ihram yang tidak kemas kerana terlalu panjang atau besar. Ada yang memakai kain ihram yang kecil dengan badan yang besar.
Apa yang boleh dilakukan ialah kain ihram yang besar atau panjang bolehlah digunting mengikut kesesuaian ukuran badan dan jika berbulu bolehlah dijahit tepi. Jika kain ihram kecil bolehlah dijahit untuk menyambungnya supaya sesuai dengan ukuran badan. Kain ihram boleh dijahit tapi jangan dicantumkan sehingga boleh disarung, itu dilarang. Pemakaian kain ihram hendaklah kemas dan kukuh jangan mudah tercabut atau terpijak dan tidak menyebabkan aurat terdedah kerana bakal haji akan melakukan banyak pergerakan. Mudah-mudahan dengan kekemasan pakaian ihram dapat kesempurnaan pelaksanaan Umrah atau Haji.
Semasa bakal haji berada di Arafah bolehlah menggunakan kain pelekat tapi jangan disarung dan bahagian badan ditutup dengan kain tuala bagi tujuan ke tandas supaya kain ihram tidak terkena najis atau kotoran. Inilah yang dapat saya cadangkan.

Sunday, October 3, 2010

UCAPAN TERIMA KASIH

Saya selaku Pengurus Pentadbiran / Haji dan anggota Tabung Haji Wilalayah Persekutuan ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada bakal haji 1431H yang berurusan dari awal sehingga akhir (3 Oktober 2101) bagi persiapan untuk mengerjakan haji. Kami berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik. THWP mengadakan perkhidmatan pada Sabtu dan Ahad bagi beberapa urusan selain pada hari kerja. Walaubagaimanapun kami merasakan tidak dapat memberi kepuasan kepada semua bakal haji. Oleh itu kami memohon maaf. Saya mengalukan cadangan dan pandangan membina bagi melakukan penambahbaikan yang berterusan.
Jika ada bakal haji yang masih belum lengkap berurusan berkaitan haji sila berurusan pada hari berkerja biasa. Ada bakal haji masih belum mendapat tahu penerbangan haji, sila hubungi THCC 03 6207 1919 dan jika dimaklumkan telah ada , bolehlah dapat surat Jadual Penerbangan di Pejabat TH berhampiran. Bagi bakal haji yang masih belum menerima gelang pengenalan haji, jika tidak dihubungi oleh TH sehingga tarikh melapor diri, sila maklumkan semasa melapor diri di stesen berlepas.
Penerbang Haji tidak beberapa hari lagi maka saya tidak henti-henti mendoakan bakal haji Mendapat Haji Mabrur.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes